KUALA LUMPUR – Video yang memaparkan seorang ibu tunggal juga kurang upaya (OKU) yang gigih menjual kuih tepung pelita bersama anaknya mengundang sebak netizen.
Video yang dimuat naik FS Channel di Facebook menunjukkan Zarina Abu Sufian yang mesra dipanggil Kak Ina menjual kuih tepung pelita setiap hari dengan hanya berkerusi roda.
Kak Ina yang tidak mempunyai kedua-dua belah tangan juga tidak patah semangat dalam meneruskan kehidupannya.
"Saya nak bekerja susah, siapa yang nak ambil saya. Daripada saya merempat meminta sedekah, baik saya berniaga. Jangan jadikan kecacatan itu satu kelemahan,” katanya.
Dalam pada itu, Kak Ina berkata, dia akan menjual kuih tepung pelita dengan harga RM1 sahaja di dua lokasi yang berbeza iaitu pada hari Jumaat hingga Ahad, dia akan berada di Masjid Jamek dan pada hari-hari yang lain dia menjual di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah di Taman Seri Rampai di sini.
"Saya akan ditemani anak saya apabila mereka cuti sahaja. Orang ramai juga tidak perlu risau tentang kualiti kebersihan kuih saya kerana saya sudah mendapat suntikan typhoid.
"Saya akan menjual 200 biji kuih tepung pelita sehari dan akan disedekahkan kepada masjid serta orang ramai jika tidak habis dijual. Macam mana saya nak makan sedap, macam itulah saya akan jual dekat orang,” katanya.
Dalam pada itu, FS Channel mengambil pendekatan dengan membeli kesemua kuih tepung pelita Kak Ina dan turut menghulurkan sumbangan daripada orang ramai.
"Saya doakan semua yang menonton akan beroleh kebaikan, sentiasa sihat, bahagia di samping orang tersayang dan dilimpahkan rezeki,” katanya.
Video yang berdurasi 8 minit 25 saat itu tular di media sosial yang meraih 1.9 juta tontonan dan rata-rata netizen sebak melihatnya serta memuji ketabahan dan kerajinan Kak Ina membesarkan anak-anaknya walaupun tidak sempurna seperti insan lain.
"Menitis air mata tengok Kak Ina yang serba kekurangan sanggup berniaga dari meminta sedekah. Semoga rezeki Kak Ina berlipat kali ganda. Sekiranya dapat gerai berniaga lagi senang tak payah pergi jauh jauh,” tulis Ummi Ida di Facebook.
Azzadina Fadzila pula berkata,"Terharunya, kuat semangat akak tu demi kelangsungan hidupnya. Apa pun saya doakan kakak itu sentiasa dalam lindungan ALLAH dan dimurahkan rezeki. Untuk FS Channel terima kasih atas usaha korang."