PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp tidak risau walaupun kehilangan pemain tengahnya, Fabinho yang dijangka perlu berehat panjang akibat kecederaan pergelangan kaki.
Menurutnya, dia mempunyai jalan penyelesaian mengatasi masalah tersebut dan menegaskan mempunyai pemain lain yang boleh menggantikan tempat pemain Brazil itu.
"Saya tidak nafikan kecederaan Fabinho itu akan memberikan kesan kepada pasukan. Berapa lama dia tidak boleh bermain, saya belum tahu tetapi kemungkinan sehingga awal tahun ini.
"Kami kena mencari penyelesaian menggantikan tempatnya dan saya sudah ada beberapa pemain yang boleh mengalas tanggungjawab itu. Namun, saya mengharapkan dia akan cepat pulih dan kami akan membantunya dalam proses tersebut," katanya.
Fabinho mengalami kecederaan ketika seri 1-1 dengan Napoli dalam aksi Liga Juara-Juara dan terpaksa dikeluarkan pada minit ke-18.
Selepas menjalani pemeriksaan lanjut, dia disahkan mengalami kecederaan ligamen pergelangan kaki dan dijangka perlu berehat sehingga awal tahun depan.
Keresahan penyokong Liverpool mengenai kecederaan Fabinho sudah tentu ada asasnya memandangkan The Reds tidak mempunyai pemain tengah bertahan dengan Gini Wijnaldum, Jordan Henderson, dan Naby Keita lebih kepada pemain tengah menyerang.
Malah, Juara Eropah itu juga sering bergantung kepada khidmat Fabinho musim ini yang menyaksikan dia hanya tidak diturunkan sekali dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.
"Kami melihat perlawanan menentang Napoli dari musim lalu dan Henderson, Wijnaldum dan Adam Lallana pernah bermain di posisi itu. Kami perlu mengubah sistem.
"Sudah tentu tidak sama corak permainan ketika ketiadaan Fabinho tetapi kami perlu meneruskan saingan dan perlu mencari kemenangan," katanya.