KUALA KRAI - Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini telah ditutup apabila paras air mula surut di beberapa kawasan.
Sehingga jam 1 tengah hari, hanya PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang sahaja yang masih menempatkan 63 mangsa banjir melibatkan 13 keluarga di kawasan tersebut.
Iklan
Iklan
Tiga PPS yang ditutup adalah di Kemas Kampung Kuala Pertang, Balai Raya Kampung Mial dan Madrasah Kampung Sungai Embak.
Ketua polis daerah, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, meskipun paras air di sebahagian kawasan telah surut namun penduduk perlu berwaspada sekiranya air kembali naik.
"Buat masa ini, keadaan cuaca bertambah baik dan tidak hujan namun penduduk dinasihatkan agar segera melaporkan sekiranya ada kawasan yang dinaiki air.
"Situasi ini berpunca daripada hujan lebat melebihi kadar biasa menyebabkan parit utama tidak dapat menampung lebihan air yang ada.
"Kesemua jalan juga telah dibuka kepada pengguna namun pemantauan berkala akan dilaksanakan oleh agensi yang terlibat termasuk PDRM (Polis Diraja Malaysia), JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) serta APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia)," katanya.