TERBUIRENG - Pusat-pusat tahfiz kebiasaannya dipenuhi kanak-kanak atau remaja yang dihantar ibu bapa mereka untuk menjadi penghafaz al-Quran atau al-hafiz, namun berbeza situasi di sini apabila seorang lelaki warga emas berjaya mencapai impiannya bergelar al-hafiz pada usia 60 tahun.
Bukan itu sahaja, warga emas dikenali sebagai Masrukhin itu juga merupakan hufaz tertua di pusat pengajiannya di Madrasatul Qur’an di Terbuireng, di sini.
Menurut laporan Duta, Masrukhin yang juga seorang bekas tentera mula menghafaz al-Quran di madrasah berkenaan ketika berumur 54 tahun dan dia memberitahu faktor usia bukanlah penghalang bagi dirinya.
Bagaimanapun Masrukhin akui bukan mudah menghafaz 30 juzuk kerana perlu membahagikan masa dengan pekerjaannya sebagai pengawal keselamatan di madrasah itu.
"Kepada masyarakat luar di sana khususnya penghafaz al-Quran, teruskan nekad yang anda lakukan dan jangan pernah berhenti kerana anda boleh lakukannya dan harus mengelakkan segala perbuatan yang cenderung kepada maksiat,” katanya.
Menurutnya, dia mula terdetik menghafaz al-Quran selepas berasa kosong pada dirinya ketika bekerja dan setiap hari, kecintaan terhadap ayat-ayat suci ALLAH semakin menebal di jiwa menyebabkan setiap satu hari, dia akan memastikan dapat menghafal satu muka surat.
Berkat usaha dan kesungguhannya, Masrukhin telah menerima Ijazah Hafidz, sekali gus diangkat sebagai hafiz di madrasah tersebut.
Masrukhin yang juga pengawal keselamatan madrasah tersebut telah dihadiahkan pakej umrah sebagai penghargaan terhadap dedikasinya selama bertahun-tahun berkhidmat di pusat tahfiz itu.