Tanjung Manis sah jadi cabang ke-222 PKR

Iklan
Gambar hiasan - Foto fail Bernama

SARIKEI - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tanjung Manis di sini hari ini berjalan lancar di mana Dr Raduan Serap menang tanpa bertanding sebagai ketua cabang itu selepas seorang lagi calon Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi hilang kelayakan untuk bertanding.

Pengumuman kemenangan Raduan dibuat Timbalan Setiausaha Agung Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Ir Dr Irwan Ahmat Nor pada satu sidang akhbar selepas tamatnya proses pemilihan itu.

Iklan
Iklan

Turut menang tanpa bertanding ialah Upon Uget (Timbalan Ketua Cabang), Patricia Geling (Ketua AMK Cabang) dan Corina King (Ketua Wanita Cabang).

Berikutan selesainya pemilihan itu, PKR Cabang Tanjung Manis kini sah menjadi cabang PKR yang ke-222.

Iklan

Irwan berkata, pemilihan bagi Cabang Tanjung Manis yang sebelum ini diselubungi kontroversi diteruskan berikutan keputusan mahkamah pada 28 November yang membenarkan ia diadakan hari ini.

Pada 3 November lalu, pemilihan PKR Cabang Tanjung Manis dihentikan susulan penyerahan perintah injunksi oleh peguam, Clement Wong dari Clement and Co.

Iklan

"Pada 28 November kami menang ke atas kes injunksi yang menghalang pemilihan ini dilakukan dan mahkamah telah membenarkan kami mengadakannya pada hari ini,” katanya.

Mengenai bantahan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Baru Bian Selasa lalu terhadap notis mesyuarat agung tahunan yang kurang daripada 14 hari sebagaimana termaktub dalam Fasal 34.2 Perlembagaan PKR (Pindaan 2013), beliau berkata, Baru Bian keliru dengan fasal tersebut.

"Fasal yang dinyatakan itu adalah untuk cabang-cabang yang sedia ada dan bukannya untuk penubuhan sesebuah cabang baharu. Ini (Tanjung Manis) adalah sebuah cabang baharu dan presiden mempunyai hak untuk memberikan notis 14 hari atau tujuh hari ataupun tiga hari untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan,” katanya.

Jawatankuasa Cabang Tanjung Manis itu akan membuat persiapan bagi Kongres Nasional PKR yang akan diadakan di Melaka dari 6 Disember sehingga 8 Disember ini.

Irwan berkata, PKR Tanjung Manis mempunyai kira-kira 2,000 ahli dan hampir 200 ahli hadir ke mesyuarat tersebut yang memerlukan korum seramai 50 orang ahli. - Bernama