PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin memberikan amaran kepada skuad bola sepak bawah 22 (B-22) tahun negara supaya bangkit melakar kemenangan dalam dua aksi terakhir menentang Timor Leste dan Kemboja dalam saingan Sukan Sea 2019 di Filipina.
Menurutnya, beliau kecewa dengan persembahan yang ditunjukkan oleh skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu selepas tewas kepada tuan rumah, Filipina 0-1 dalam aksi di Stadium Rizal Memorial, malam tadi.
Kekalahan tersebut menyaksikan skuad Harimau Muda merintis laluan sukar untuk layak ke peringkat separuh akhir.
"Saya tengok perlawanan semalam dan saya telah hubungi Kim Swee. Bukan dia saja yang kecewa, saya pun kecewa.
"Kim Swee dan pemain kena bangkit. Kalau kita nilai perlawanan itu, pasukan negara banyak beri ruang kepada Filipina untuk menyerang. Apabila dah ketinggalan barulah kita nak menyerang dan bermain dengan baik," katanya selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Junior Antarabangsa Kelab Diraja Selangor (RSC) ke-15, hari ini.
Kata Hamidin, skuad Harimau Muda tidak mempunyai pilihan lain dengan menang ke atas Timor Leste dan Kemboja sekiranya mahu layak ke saingan separuh akhir.
"Kita kena tahu kekuatan kita iaitu serangan yang bagus. Jadi gunakan kelebihan itu dalam perlawanan akan datang.Kita tak perlu takut untuk menentang mana-mana pasukan.
"Saya bagi ingatan kepada Kim Swee dan pemain untuk bangkit dan menang dua perlawanan tersebut.Walapun kita tengok laluan seperti sukar tetapi kita jangan berputus asa.
"Saya masih yakin kemampuan pasukan negara, tetapi yang penting kita kena menang dua perlawanan itu sebelum fikir ke separuh akhir," katanya.