Lelaki maut jatuh tingkat empat flat PPR

Iklan
Mayat mangsa ditemui penghuni Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran kira-kira jam 9.10 malam tadi. -Foto Ihsan pembaca

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat kediamannya di Blok A, Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini jam 9.11 malam tadi.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) PPR Hiliran, Zabri Awang berkata, kejadian itu disedari penghuni di kawasan itu yang menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di tingkat bawah bangunan setinggi 17 tingkat itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa, Muhammad Danial Mohd Anuar, 20, dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dari tingkat empat bangunan berkenaan.

"Laporan awal diterima daripada penduduk di sini memberitahu menemui mangsa dalam keadaan terbaring di tingkat bawah bangunan ini kira-kira jam 9.10 malam.

Iklan

"Setakat ini, tiada maklumat jelas mengenai punca kejadian dan ahli keluarga mangsa juga memaklumkan belum ada maklumat terperinci berhubung kejadian menimpa mangsa," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, jenazah mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat dan dijangka akan disembahyangkan di Masjid Al-Hijrah, PPR Hiliran sebelum dikebumikan di Kampung Gong Kiat, di sini.

Iklan

Sementara itu, penghuni PPR, Ahmad Haslan Abdul Rahman berkata, dia terdengar bunyi yang kuat jatuh dari tingkat atas berhampiran kediamannya ketika sedang menonton televisyen, namun tidak menghiraukan bunyi terbabit kerana menyangka bunyi tersebut datang dari kanak-kanak yang bermain di kawasan itu.

"Saya ada dengar macam bunyi benda jatuh. Mula tu ada rasa pelik juga sebab bunyi tu kuat tapi sebab kat sini dah biasa dengar bunyi-bunyi kuat, saya anggap ia perkara biasa sahaja.

"Lepas tu saya dengar orang kat sini kata ada orang jatuh, saya turun bawah tengok ramai yang dah berkerumun dan ada orang angkat jenazah dari tempatnya ditemui jatuh," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.