Inti pati laporan audit 1MDB Najib minggu ini

Iklan
Ambrin

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta saya agar tidak memasukkan dua versi kenyataan kewangan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam Laporan Akhir Pengauditan, kata bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Ini antara inti pati perbicaraan bekas Perdana Menteri yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi minggu ini.

Iklan
Iklan

Ambrin, 70, yang juga satu-satunya saksi pendakwaan yang disoal minggu ini memberitahu mahkamah bahawa Najib membuat permintaan itu selepas dia (Ambrin) membangkitkan isu dua versi berbeza dokumen bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2014 pada satu mesyuarat di pejabat Najib pada Februari, 2016.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata, beliau melihat permintaan Najib sebagai Perdana Menteri itu sesuatu yang hendaklah dilaksanakan tanpa sebarang prajudis.

Iklan

Ambrin selanjutnya berkata, meskipun implikasi daripada menggugurkan fakta daripada laporan pengauditan 1MDB itu amat serius tetapi beliau bersetuju untuk melakukan pindaan itu selepas ahli Parlimen Pekan itu berjanji beliau akan menyiasat ‘hingga ke akar umbi’ perkara ini dengan secepat mungkin.

Bagaimanapun, saksi berkenaan berkata, beliau rasa tertipu apabila mengetahui bahawa tidak ada satu pun laporan polis dibuat meskipun diberi jaminan oleh Najib berhubung dua laporan kewangan yang berbeza itu.

Iklan

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Audit 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam melakukan kesalahan itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Kedua-duanya didakwa di bawah Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah gratifikasi atau denda RM10,000, yang mana satu lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Berikut ialah ringkasan keterangan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

HARI 5 (27 November)

Ambrin memberitahu mahkamah bahawa semasa mesyuarat penyelarasan Laporan Audit 1MDB di pejabat bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada 24 Februari 2016, Arul Kanda juga telah menggesa agar digugurkan dua versi kenyataan kewangan 1MDB itu selepas bersetuju bahawa isu itu akan dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Menurut saksi berkenaan, Jabatan Audit Negara (JAN) berpandangan bahawa isu itu perlu dimasukkan dalam laporan audit syarikat berkenaan agar ia membolehkan perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengendalikan siasatan lanjut.

Ambrin berkata, beliau mengarahkan semua laporan asal audit 1MDB itu dimusnahkan melainkan satu disimpan oleh Pengarah Audit LAN (Sektor Kerajaan) Nor Salwani Muhammad (saksi kelima pendakwaan).

Katanya, laporan asal itu yang dicetak dalam 60 salinan tidak digunakan kerana Arul Kanda mahu perubahan dibuat.

Ambrin memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau kecewa kerana terpaksa melayani cadangan pindaan itu pada saat-saat akhir sedangkan Laporan Audit 1MDB telah siap untuk dibentangkan kepada PAC pada 24 Feb, 2016 dan laporan itu hanya dapat dibentangkan pada Mac 2016.

Saksi berkenaan menjelaskan bahawa selain dua versi kenyataan kewangan yang berbeza itu, pindaan yang dibuat bagi laporan pengauditan 1MDB itu ialah isu penangguhan penerbitan Islamic Medium Term Notes (1MTN), ACME, dan isu keberadaan Low Taek Jhow atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Menjelas lebih lanjut mengenai isu dua versi kenyataan kewangan 1MDB, Ambrin berkata, satu versi dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyatakan bahawa 1MDB telah menggunakan RM4.03 bilion dana yang dikumpulkan dari pelaburan Seggregated Portfolio Company (SPC) untuk membayar hutang syarikat.

Satu lagi versi kenyataan kewangan itu dihantar ke Kementerian Kewangan, Deutsche Bank dan AmBank yang menyebut bahawa RM4.03 bilion dana dikumpulkan daripada pelaburan SPC masih ada dalam simpanan 1MDB, tambah beliau.

Mengenai isu kelewatan dalam isu IMTN, Ambrin berkata, pasukan audit khas 1MDB mendapati bahawa pada 27 Mei 2009, Najib, yang ketika itu ialah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah diminta mengadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Sultan Mizan sebagai penaung Terengganu Investment Authority (TIA) telah mengarahkan pengeluaran pelaburan IMTN ditundakan. Penangguhan itu bagi membolehkan Jawatankuasa Penyeliaan Khas mengkajinya.

"Bagaimanapun, pada tengah hari yang sama (27 Mei, 2009) satu mesyuarat Kabinet diadakan tetapi Najib tidak menyatakan atau membincangkan arahan Sultan Mizan berhubung kelewatan pengeluaran pelaburan IMTN untuk kegunaan projek usaha sama PetroSaudi Ltd (PSI) dan 1MDB.

Ambrin seterusnya menyatakan, isu lain ialah perjanjian Country Groups Securities (CGS) Thailand dengan ACME Time Limited, milik Jho Low, di mana Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati penglibatan dan pelaburan Jho Low dalam pengeluaran IMTN bagi projek usaha sama PSI dengan 1MDB, dan tiada siasatan dijalankan berhubung perkara itu oleh BNM.

"Menurut maklumat BNM, AmBank menandatangani satu perjanjian langganan menengah dengan CGS pada 18 Mei, 2008 yang bermaksud AmBank adalah pembeli utama satu perjanjian dengan CGS yang bermakna AmBank memperdagang kepentingannya dalam IMTN kepada CGS di mana CGS adalah pembeli subsale.

"Ia kemudian mendedahkan bahawa CGS telah menandatangani satu Perjanjian Pilihan dengan ACME sebagai rakan transaksi bersama.

BNM mendakwa bahawa AmBank meletakkan keluar keuntungan AS$127.27 juta di mana bayaran dibuat kepada CGS ialah AS$1.30 juta dan ACME AS$113.42 juta dan AS$12.55 juta. NAD melaporkan perkara itu dalam draf laporan pengauditan akhir 1MDB,” katanya.

Bagaimanapun, Ambrin berkata Arul Kanda telah meminta isu itu dikeluarkan daripada laporan pengauditan akhir 1MDB kerana beliau berpandangan bahawa ia di luar skop isu audit 1MDB memandangkan urusan itu membabitkan pasaran pertengahan.

Mengenai pengguguran kehadiran Jho Low dalam laporan itu, saksi itu berkata bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh telah meminta agar digugurkan perenggan mengenai kehadiran Jho Low pada mesyuarat lembaga itu susulan sensitivitinya dan bagi mengelakkan daripada diputarbelitkan oleh pihak pembangkang.

"Pengguguran para yang berkaitan dengan kehadiran Jho Low, pada pandangan saya, bertujuan untuk menghalang PAC atau pembaca Laporan Pengauditan 1MDB mengetahui bahawa Jho Low hadir pada mesyuarat lembaga bagi meluluskan siasatan 1MTN dan ia mempengaruhi laporan itu kepada PAC.

"Saya setuju ia digugurkan daripada laporan itu kerana pasukan audit NAD tidak dapat mengesahkan bukti dokumen sama ada Jho Low benar hadir atau tidak kerana terdapat dua mesyuarat berbeza berhubung dengan kehadiran,” katanya.

Ambrin juga memberitahu mahkamah bahawa Arul Kanda juga meminta agar dihadkan skop laporan SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB kepada tempoh bermula 7 Januari 2011 (tarikh SRC ditubuhkan) sehingga 15 Februari 2012 (tarikh SRC dipindahkan kepada Kementerian Kewangan) dan bukan sehingga 2014.

Saksi juga ditanya mengenai tindakan Nor Salwani yang meletakkan satu alat perakam dalam bekas alat tulis ketuanya semasa mesyuarat penyelarasan laporan pengauditan tanpa kebenaran, yang mana beliau mempertahankannya dengan berkata Nor Salwani tidak melanggar sebarang tata perilaku ketika berbuat begitu.

"Pada saya, tidak perlu untuk mendapatkan kebenaran kerana hasrat sebenar beliau ialah untuk mencatat nota untuk jabatannya. Ia untuk kegunaan dalaman jabatan kami,” kata Ambrin.

HARI 6 (28 Nov)

Saksi memberitahu mahkamah bahawa beliau dimaklumkan oleh Ali semasa mesyuarat 24 Februari 2016 bahawa mencemari imej bekas Perdana Menteri itu sama juga seperti memburukkan nama negara.

Ambrin merujuk kepada rakaman audio mesyuarat itu yang dimainkan dalam mahkamah minggu lepas.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata semasa mesyuarat berkenaan, mereka yang hadir bimbang ia akan mempengaruhi negara sekiranya laporan itu menjejaskan reputasi Najib.

Ambrin juga bertegas bahawa beliau tidak mempunyai sebarang agenda politik di sebalik laporan 1MDB yang disediakan oleh NAD pada 2016 kerana beliau hanyalah ketua audit negara yang menjalankan tugasnya.

Beliau berkata, nuraninya jelas apabila beliau bersetuju dengan pindaan laporan pengauditan 1MDB meskipun menerima tekanan.

Apabila ditanya kenapa beliau tidak membuat sebarang laporan polis terhadap dua kenyataan kewangan 1MDB yang berbeza itu, saksi berkata ia tidak terlintas dalam fikirannya waktu itu.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pada 9 Januari 2020. - Bernama