SHAH ALAM - Kesemua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menandatangani memo berhubung penolakan pemecatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid baru-baru ini diminta hadir pada mesyuarat MPP akan datang bagi mempertahankan keputusan (penolakan) berkenaan.
Pengerusi Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ahmad Kassim berkata, sebarang pindaan atau pun semakan berhubung pemecatan berkenaan perlu dibuat dalam mesyuarat MPP dan bukannya di luar mesyuarat.
"Bagaimanapun, kita menerima baik memorandum yang dihantar dan ia (memorandum) akan diteliti dalam mesyuarat Lembaga Disiplin akan datang. Kita juga akan membuat syor pada MPP akan datang.
"Lagipun, keputusan pemecatan itu adalah keputusan MPP (Majlis Pimpinan Pusat), bukan keputusan Lembaga Disiplin atau Presiden," katanya bagi mengulas berhubung memo bertajuk 'Pemecatan Zakaria Abdul Hamid Sebagai Ahli MPP Keadilan Adalah Tidak Sah' bertarikh hari ini yang ditujukan kepada Lembaga Disiplin PKR.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Rasuah: Dua ahli PKR Pahang dipecat serta-merta
'Pemimpin PKR perlu minta maaf secara terbuka kepada Zakaria'
Pemecatan Zakaria berniat jahat
Terdahulu, seramai 20 ahli MPP PKR sebulat suara menolak pemecatan Zakaria dan memohon Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memohon maaf atas keterlanjuran berkenaan.
Tiga daripada 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkenaan melibatkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta dua Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua.
Seramai 17 nama lain dalam memo berkenaan ialah Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Hilman Idham dan Timbalan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi.
Turut tersenarai, Amiruddin Shaari, Datuk Mohd Rashid Hasnon, R Sivarasa, Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Radzlan Jalaluddin, Datuk Dr Mansor Othman, Datuk Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Datuk Seri R Santhara Kumar serta Zakaria sendiri.