KOTA BHARU - Seorang wanita warga emas mengambil keputusan berjalan kaki sejauh 1km ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana bimbang terperangkap berikutan kenaikan paras air di kawasan rumahnya.
Zaharah Deraman, 68, yang tinggal sendirian di Kampung Alor Pasir berkata, dia juga tidak mahu menyusahkan orang ramai untuk menyelamatkannya jika terperangkap di dalam rumah.
"Masa saya keluar rumah, air sudah paras lutut tapi tak pelik sebab memang selalu naik air kalau hujan lebat.
"Saya risau takut terkepung, nanti susahkan orang ramai jadi saya keluar terus bawa apa yang penting seperti tahun-tahun sebelum ini," katanya yang kini berada di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pasir sejak semalam.
Zaharah antara 35 mangsa daripada 10 keluarga dari Kampung Alor Pasir dan Padang Kijang dipindahkan ke PPS tersebut yang mula dibuka kelmarin.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Rafain Mat Zin turut meninjau PPS diiringi Ahli Jawatankuasa Banjir SK Alor Pasir, Azman Yacob.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd Noor Yaacob, 54, dan bapa mertua, Salleh Abdullah, 80, yang diserang strok sejak empat bulan lalu mengambil keputusan berpindah lebih awal ke PPS bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.
"Jam 8 malam semalam masih kosong depan rumah tapi bangun pagi tadi (semalam), air sudah cecah paras paha. Saya pun bergegas siapkan apa yang patut dan bersama keluarga dan biras membawa bapa mertua berpindah.
"Memang air naik dengan cepat dan hujan pun agak lebat dari biasa. Kami sudah pun bersiap sedia untuk berpindah. Memang ini rutin setiap tahun jika tiba musim banjir. Nak buat macam mana, rumah kami berada di kawasan yang agak rendah," katanya.
Sehingga jam 6 petang, sebanyak enam PPS dibuka iaitu SK Kelewek, SK Bukit Panau, Dewan Serbaguna Kampung Padang Kijang, SK Alor Pasir, SK Kulim dan Masjid Mukim Kuala Kepok.