PASIR MAS - Ketiadaan pagar di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan adalah antara cabaran yang dihadapi oleh pihak berkuasa khususnya polis bagi membanteras penyeludupan dadah ke negeri itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ia sekali gus menyukarkan pihaknya melakukan pemantauan dengan lebih baik khususnya bagi mengekang penyeludupan terutamanya dadah.
Iklan
Iklan
"Kelantan mempunyai sempadan darat dan air sepanjang 134 kilometer sekali gus mewujudkan beratus-ratus laluan haram yang memberikan cabaran kepada pihak kami. Jika kita lihat di Padang Besar, Perlis, pagar dibina di sepanjang sempadan namun ia tidak dibina di sini," katanya ketika Program Towhall Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Apam Putra di sini hari ini.
Katanya, selain pembinaan pagar, kekurangan penggunaan teknologi tinggi di pintu masuk di sempadan juga menjadi cabaran kepada pihak berkuasa untuk membanteras barangan terlarang itu daripada memasuki negara.
Beliau berkata, antara cabaran lain termasuklah keadaan cuaca di Kelantan yang kemarau pada awal tahun dan banjir pada hujung tahun memberi peluang kepada penyeludup untuk melakukan kegiatan mereka.
"Jika kemarau, Sungai Golok akan kering dan memudahkan aktiviti rentas sempadan dilakukan penyeludup, manakala di musim tengkujuh pula, sempadan sungai akan menjadi bertambah lebar sekaligus menyukarkan kita untuk membuat pemeriksaan dan kawalan," katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan