SHAH ALAM – Perkongsian mengenai seorang suami 'sweet' oleh netizen berikutan tular kisahnya di media sosial kerana membelikan burger untuk hari jadi isterinya bagi menggantikan kek, turut mendapat perhatian kedai kek terkenal, Secret Recipe.
Secret Recipe yang pada mulanya mencari pasangan tersebut melalui Twitter berjaya mengesan mereka dan telah memberi kejutan kepada suami isteri berkenaan dengan undangan bagi menikmati hidangan kek di premis tersebut di Sungai Petani.
Pihak terlibat turut berkongsi gambar lelaki tersebut yang dikenali sebagai Razif dan isterinya.
"Kami telah menjumpai pak cik tersebut yang berasal dari Yan, Kedah. Kamu semua telah melakukan kerja yang baik dan terima kasih atas sokongan dan bantuan anda semua. Kami akan menjumpai pak cik tersebut dan isterinya di kafe kami di Sungai Petani Sabtu ini (hari ini)," katanya.
Terdahulu, @mmnslhn yang turut berkongsi gambar lelaki tersebut menceritakan tentang rakannya yang bekerja di sebuah kedai makanan barat menerima seorang pelanggan yang membeli burger di kedai tersebut untuk sambutan hari jadi isterinya kerana tidak sempat membelikan kek.
Dia yang turut berkongsi gambar lelaki tersebut turut menasihatkan suami menghargai isteri masing-masing.
"Semua di luar sana yang dah berkahwin tolong hargai isteri kamu semua. Hari ini kawan sekolah aku kerja kedai 'western' dapat pelanggan tidak pasti berapa umurnya tapi fizikal tu macam pak cik-pak ciklah.
"Dia cakap tak sempat nak pergi beli kek. Jadi dia order burger untuk isteri dia. Apa-apapun mata aku masuk habuk malam ini,” tulisnya.
Perkongsian @ammnslhn di Twitter itu meraih 36,500 ulang kicau, 34,700 tanda suka dan rata-rata netizen terharu melihat aksi si suami yang disifatkan romantik kerana sanggup mencari pengganti hadiah bagi menggantikan kek hadiah buat insan disayanginya itu.
"Alahai, 'sweetnya'. Sekarang ini memang susahlah nak jumpa yang setia sampai ke tua ini. Isteri masih cantik pun dah kena cerai,” tulis @fatimahshalwina di Twitter.
@NNani0129 pula menulis,"Ini tanda ingat. Bukan senang tau nak jumpa lelaki ingat hari jadi kita. Menghargai sangat-sangat kalau dapat macam pak cik ini. Ini Namanya romantik."