PASIR MAS - Seramai 179 mangsa banjir membabitkan 46 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) sejak malam tadi selepas rumah mereka ditenggelami air ekoran hujan lebat sejak kelmarin.
Kesemua mangsa banjir itu kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jarum, SK Kampung Baru, SK Sri Kiambang, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati dan PPS Putat Tujoh.
SMKA Lati mencatatkan bilangan mangsa banjir paling tinggi iaitu seramai 64 orang diikuti SK Bukit Jarum (61), PPS Putat Tujoh (30), SK Kampung Baru (20) dan SK Sri Kiambang (4).
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Pasir Mas, Kapten (PA) Mohd Arif Mohd Zain berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk melihat sebarang kemungkinan berlaku limpahan air sungai berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.
"Anggota APM Pasir Mas sudah berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan untuk digerakkan sekiranya keadaan bertambah teruk selepas ini," katanya.