SHAH ALAM - Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang dijangka berlangsung minggu depan menjadi medan muhasabah kepada kepimpinan dan perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) ekoran kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Konvensyen itu juga adalah peluang untuk melihat kembali janji yang belum ditunaikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, semua perwakilan perlu mengutarakan pandangan menerusi perbahasan mereka yang merangkumi usaha membela nasib rakyat.
"Kekalahan PH pada PRK Parlimen Tanjung Piai seperti satu signal untuk kita menyemak kembali peranan selaku parti kepada rakyat. Adakah kita selama ini berjaya memenuhi keperluan atau sebaliknya?
"Selain bermuhasabah, konvensyen ini merupakan platform menegur kepimpinan selepas kita menjadi kerajaan yang mungkin kita lupa untuk melaksanakan amanah di peringkat akar umbi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut Mohd Sany lagi, konvensyen kali ini bakal menyaksikan pemilihan kepimpinan yang pertama buat Amanah sejak ditubuhkan bermula peringkat cawangan, negeri, Pemuda dan Wanita serta nasional.
Katanya, walaupun dijangka ada perubahan kepimpinan namun agenda perjuangan Amanah tetap sama iaitu meneruskan agenda kepimpinan yang bersih dan amanah.
"Itulah saya harapkan dalam konvensyen kali ini supaya parti ini terus memberi komitmen setiap masa," katanya.