RIYADH - Arab Saudi hari ini secara rasmi mengetuai Group of Twenty (G20) bagi sesi 2020 menjelang sidang kemuncak ke-15 kumpulan berkenaan di Riyadh pada 21 hingga 22 November tahun depan.
Mengambil alih teraju kepimpinan dari Jepun, Arab Saudi memuji usaha negara itu sepanjang mengetuai G20 bagi sesi 2019 dan akan terus menyokong usaha kumpulan ke arah kerjasama global.
"Kepimpinan G2O Arab Saudi komited untuk meneruskan usaha Osaka dan mempromosi kesepakatan multilateral. Bekerjasama dengan rakan G20 yang lain, kami akan melaksanakan tindakan konkrit dan merealisasikan peluang untuk membolehkan kita menghadapi cabaran masa depan.
"Kerajaan Arab Saudi terletak di antara tiga benua, Asia, Afrika dan Eropah. Selaku tuan rumah G20, Arab Saudi akan memainkan peranan penting dengan berkongsi perspektif Timur Tengah dan rantau Afrika Utara.
"Kami percaya, ia bakal menjadi peluang unik untuk mencapai persetujuan berhubung isu antarabangsa dan pada masa sama mengalu-alukan kedatangan dunia ke Arab Saudi," ujar Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.
Mengangkat tema 'Realizing Opportunities of the 21st Century for All', Arab Saudi yang juga anggota G20 Troika akan memfokuskan kepada tiga matlamat utama iaitu 'Memperkasa Manusia' dengan menyediakan persekitaran di mana semua manusia terutama wanita dan golongan muda boleh hidup selesa, bekerja dan berkembang maju.
'Menjaga Planet' dengan memupuk usaha bersama berhubung keselamatan makanan dan air, iklim, tenaga dan alam sekitar serta 'Membentuk Sempadan Baharu' dengan mengadaptasi strategi jangka panjang yang berkongsi manfaat inovasi dan kemajuan teknologi.
Sebagai satu-satunya negara Arab yang menganggotai G20, Arab Saudi turut komited memastikan G20 terus mencerminkan pelbagai perspektif antarabangsa yang luas dan inklusif. - Agensi