ALOR SETAR - Kerajaan bercadang memperluaskan Skim Perlindungan MySalam kepada golongan isi rumah berpendapatan sederhana (M40) dengan pendapatan kasar tidak melebihi RM100,000 setahun mulai tahun depan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, langkah itu diambil supaya lebih ramai rakyat yang layak menikmati skim berkenaan, yang kini memberi manfaat kepada kira-kira 3.8 juta rakyat daripada golongan B40.
Iklan
Iklan
Menurutnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang mengumpul data sebelum nama mereka disenaraikan sebagai mereka yang latak mendapat skim perlindungan tersebut.
"Kita juga perluaskan kepada mereka berumur 18 tahun sehingga 65 tahun berbanding sebelum ini daripada 18 tahun sehingga 50 tahun mulai tahun 2020," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Back To School 2019 di Dewan Terbuka, Masjid Hidayatol Solihin, Sungai Baru Gunong, dekat sini hari ini.
MySalam merupakan skim perlindungan kesihatan takaful percuma yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk 4.3 juta individu sekiranya menghidapi penyakit kritikal atau dimasukkan ke hospital.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Pembentangan Belanjawan 2020, Oktober lalu mengumumkan skim tersebut diperluaskan mulai 1 Januari 2020 kepada tiga kategori antaranya ke atas 45 penyakit kritikal termasuk penyakit terminal dan polio berbanding 36 penyakit sedia ada.
Menurutnya, inisiatif tersebut akan memberi manfaat kepada kira-kira lima juta rakyat yang layak.