TANJONG KARANG - Pembangkang diingatkan tidak mengambil kesempatan terhadap isu abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng demi kepentingan politik.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim berkata, pembangkang sengaja ingin meraih perhatian dengan isu terbabit.
"Kita tak perlu jadikan (abu mayat) sebagai isu perkauman dan apa yang dirisaukan sekiranya ia ditanam, akan ada tanda kubur (jirat atau tugu).
"Lagi pun, abu mayat itu ditabur dan tiada apa yang tertinggal. Malah, Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) pernah cakap sebelum ini, takkan nak kutip abu mayat satu per satu selepas ditabur," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Sukaneka D Bendang di Tali Air Tiga, Ban Satu, Sungai Burong, hari ini.
Izham berkata, kerajaan banyak perkara yang perlu diberi perhatian seperti meningkatkan ekonomi negara dan bukan tertumpu pada isu abu mayat semata-mata.
"Apa faedah yang kita dapat ketika bertelagah pasal isu ini? Nak timbulkan kebencian kaum?.
"Orang itu (Chin Peng) dah lama meninggal dunia. Lagi pun, keluarga bawa pulang abu mayat, kita pun tak tahu. Tiba-tiba, keluar gambar (di media sosial)," katanya.
Katanya, apa yang dilakukan Chin Peng sudah berlalu dan rakyat perlu memandang ke hadapan berbanding menghabiskan banyak masa tentang isu terbabit.
Media sebelum ini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.
Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan dibawa ke Ipoh, Perak pada satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.
Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.
Pada 27 November lalu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.