ALOR SETAR - Kisah seorang remaja berusia 19 tahun yang bertindak mengelar tangannya selepas disahkan menghidap penyakit kanser sehingga tular di laman sosial Facebook mendapat perhatian pelbagai pihak.
Penderitaan remaja dari Kampung Berjaya di sini, tular apabila kisahnya dikongsi pengasas Cancers Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal.
Zuraini berkata, remaja berkenaan disahkan menghidap kanser usus selepas mengalami cirit-birit yang teruk.
Menurutnya, anak kedua dari tiga beradik itu juga sebelum ini menghidap penyakit thalasemia sejak tahun 2015.
"Apabila seseorang miskin, kemudiannya disahkan menghidap penyakit kanser maka dia akan menjadi tertekan. Samalah seperti remaja ini yang mula tidak mahu makan ataupun minum dan menyendiri.
"Satu hari remaja ini cuba mengelar pergelangan tangan sebelum diselamatkan ibunya. Dia bertindak demikian kerana tidak mahu menyusahkan keluarganya untuk menanggung kos rawatan penyakitnya," katanya.
Zuraini berkata, beliau berkongsi kisah remaja berkenaan di laman sosial bagi membantu keluarga berkenaan terutama dalam menampung kos membeli beg stoma.
"Harga sekotak beg stoma ialah RM160 namun disebabkan tidak berkemampuan ibu remaja berkenaan membeli ikut kemampuan pada harga RM8 sekeping di farmasi," katanya.
Katanya, kini pihaknya bersyukur apabila remaja terbabit dilihat bersemangat semula selepas mendapat dorongan daripada pelbagai pihak yang tampil membantu.
Terdahulu nasib keluarga berkenaan mendapat perhatian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui Pejabat Zakat Daerah Kota Setar (PZDKS).
Penolong Pegawai Zakat Daerah Kota Setar, Muhammad Faidulatraf Abdullah berkata, pihaknya menyerahkan menyerahkan Kit Bantuan Makanan Asasi LZNK serta wang ihsan kecemasan kepada keluarga berkenaan.
Muhammad Faidulatraf berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya membantu keluarga berkenaan.
"Insya-ALLAH, pihak LZNK akan berusaha memberikan bantuan yang bersesuaian kepada keluarga remaja itu," katanya.
Sementara itu, ibu remaja, Russhita Othman, 49, berkata, mereka sekeluarga amat bersyukur serta berterima kasih kepada semua pihak yang membantu.
"Hanya ALLAH SWT yang dapat membalas jasa dan budi semua pihak yang membantu kami," katanya.