Jurukimpal dipenjara tujuh tahun, tiga sebatan

Iklan
Zulkifli dijatuhi hukuman penjara dan sebatan di mahkamah sesyen hari ini.
KOTA BHARU - Seorang jurukimpal dihukum penjara tujuh tahun dan tiga sebat di mahkamah sesyen, di sini, tadi kerana merompak beg seorang pejalan kaki di belakang pasar Kota Jembal Binjai, 2 November lalu.

Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas Zulkifli Mat Daud, 39, mengaku salah terhadap tuduhan yang dibacakan.

Beliau turut mengarahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada hari kejadian.

Tertuduh merompak jururawat tersebut, Suhaina Junoh, 33, pada jam 12.10 tengah hari dengan mengambil beg duit berjenama Carlo Rino berwarna putih-merah mengandungi kad pengenalan mangsa.