JEMPOL - Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk banjir dan ribut ekoran musim tengkujuh.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri juga memberi jaminan akan mengemaskini maklumat tersebut dari semasa ke semasa.
"Sedia maklum masalah banjir ini akan berlaku sekiranya hujan melebihi tahap normal.
"Persediaan tersebut telah pun dilakukan sejak Oktober lalu dan kami akan sentiasa mengemaskini maklumat berkenaan agar tindakan susulan dapat dibuat," katanya selepas selesai melepaskan anak ikan baung dan tilapia di pertemuan Sungai Muar dan Sungai Jempol, Kampung Jambu Lapan, Bahau hari ini.
Terdahulu Aminuddin tiba di lokasi dengan diiringi seramai 266 belia Negeri Sembilan yang menyertai program Kembara Anak Muda sebelum meneruskan perjalanan ke Jelebu.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Asisten Komisioner, Che Zakaria Othman dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Sabarudin Yeop Hamza.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sebanyak 20,000 anak ikan telah dilepaskan di sungai tersebut.
"Usaha ini nanti akan menjadi salah satu sumber pendapatan penduduk di sepanjang sungai ini," katanya.