Profesor USM dilantik Timbalan Naib Canselor di UniMAP

Iklan
Mohd Rizal Arshad

KANGAR - Mantan Dekan di Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Ir Dr Mohd Rizal Arshad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata, Mohd Rizal pernah dilantik menjadi Dekan di USM dan juga profesor dalam bidang robotik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik universiti itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Mohd Rizal dilantik bagi menggantikan Profesor Ir Dr Rezuwan Kamarudin yang tamat tempoh perkhidmatan secara rasminya semalam.

"Mohd Rizal berkelulusan dalam bidang Perubatan Elektronik dan Instrumentasi dari University of Liverpool pada 1994 sebelum ke peringkat sarjana dalam bidang Kejuruteraan Kawalan Elektronik di University of Salford (UK)," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

R Badlishah berkata, Mohd Rizal melanjutkan pengajian doktor falsafah dalam Kejuruteraan Elektronik di Universiti Liverpool dengan pengkhususan dalam sistem penglihatan robot sebelum memulakan kerjaya di USM sebagai ahli akademik sepenuh masa.

Anak kelahiran Selayang, Selangor itu juga aktif dalam penerbitan dan menerbitkan lebih 25 jurnal berindeks serta lebih 20 kertas prosiding persidangan.

Iklan

"Mohd Rizal terkenal sebagai perintis dalam usaha penyelidikan teknologi bawah air di negara ini selain mempunyai hubungan rangkaian penyelidikan yang kukuh dengan penyelidik antarabangsa seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Singapura, India dan Perancis.

"Kelebihan beliau dalam hubungan antarabangsa ini dilihat berpotensi untuk mendukung keterlihatan UniMAP di persada antarabangsa," katanya.