Jangan curang, selamat dari AIDS

Iklan
Boon Chye (tengah) melawat gerai Majlis AIDS Malaysia pada sambutan Hari AIDS Sedunia 2019 Peringkat Kebangsaan di Kinta River Walk Hari ini.

IPOH - Taat kepada pasangan adalah antara usaha yang mampu mengurangkan jangkitan HIV dan AIDS yang berpunca daripada seks rambang.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, mod transmisi HIV dan AIDS menerusi hubungan seks telah menjangkau lebih 90 peratus di negara ini khususnya dalam kalangan golongan ‘men-sex-men’ (MSM) dan heteroseksual.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, statistik 2018 menunjukkan 77 peratus pesakit itu terdiri daripada kalangan mereka berusia antara 20 hingga 40 tahun.

"Kefahaman dan kesedaran mengenai HIV dan AIDS ini perlu ditingkatkan terutama mereka yang mengamalkan seks rambang.

Iklan

"Apa yang lebih penting adalah pencegahan. Kita menggalakkan individu berisiko menjalani saringan di klinik kesihatan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia 2019 Peringkat Kebangsaan di Kinta River Walk di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong; Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming dan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Bakhtiar Talhah.

Iklan

Boon Chye berkata, kementerian turut menggalakkan penglibatan NGO dan masyarakat bersama-sama memerangi wabak itu selari dengan tema sambutan, ‘Komuniti Membawa Perubahan’.

"Aktiviti kawalan HIV dan AIDS yang diterajui oleh organisasi berasaskan komuniti telah memberi impak kepada kawalan jangkitan penyakit itu.

"Usahasama pintar antara kerajaan dan bukan kerajaan ini telah dimulakan sejak tahun 1980-an dan penglibatan semua pihak akan merealisasikan impian untuk mengakhiri AIDS menjelang 2030,” katanya.