PASIR PUTEH - Patung beruang milik seorang kanak-kanak antara yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Petai ekoran banjir yang melanda Kampung Gong Keding di sini hari ini.
Patung yang digelar 'baby' itu diangkut bersama pemiliknya, Nur Balqis Mohd Rozi, 9, ketika operasi menyelamat dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Ibu kepada kanak-kanak tersebut, Nik Mazlina Mohammad, 39, berkata, dia sanggup mengambil risiko dengan meninggalkan barang lain untuk berpindah ke PPS tetapi bukan 'baby'.
"Anak bongsu saya tidak boleh tidur tanpa 'baby' kerana itu saya sanggup bawa ia bersama.
"Kalau tidak Nur Balqis tidak mahu ikut berpindah, jadi 'baby' harus diutamakan," katanya.
Menurutnya, dia terpaksa mengharung banjir sedalam lebih 1meter membawa 'baby' bersama.
Nik Mazlina dan tiga anaknya kini tinggal di PPS SK Sungai Petai bersama 22 orang lagi mangsa banjir lain.
Sementara itu, Suriani Sidi Ahmad, 39, bersama anaknya yang berusia sembilan bulan turut berpindah di SK Sungai Petai.
Dia yang menetap di Kampung Gong Keding berbuat demikian selepas rumahnya ditenggelami banjir sejak semalam.
"Bimbang hujan lebat dan paras air makin naik, saya bersama suami dan anak berusia sembilan tahun yang masih dalam pantang selepas berkhatan membuat keputusan berpindah lebih awal," katanya.