Lelaki ditahan buat laporan polis palsu kononnya disamun

Iklan

BUKIT MERTAJAM - Polis menahan seorang pekerja kilang selepas lelaki itu membuat laporan palsu kononnya dia disamun dua lelaki dalam kejadian di Jalan Tok Kangar, di sini hanya kerana mahu mengelak daripada membayar denda kerana hilang kad pengenalan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 21 tahun itu membuat laporan polis mendakwa kononnya dia disamun kira-kira pukul 9.30 malam semalam ketika sedang menolak motosikal kerana tayar pancit.

Iklan
Iklan

"Pekerja kilang itu mendakwa dua lelaki menaiki sebuah motosikal telah menghampirinya dan bertanyakan mengenai keadaan motosikalnya sebelum dia memaklumkan tayar pancit dan dalam masa sama, lelaki yang membonceng bertindak merampas beg silang yang diletakkan dalam bakul motosikalnya," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu memaklumkan dia cuba menarik begnya, namun gagal kerana ia terkoyak sebelum dua lelaki itu melarikan beg tersebut yang mengandungi dompet serta sejumlah wang tunai.

Iklan

Menurutnya, polis menjalankan siasatan lanjut dan memanggil lelaki itu untuk memberi keterangan sebelum soal siasat mendapati pekerja kilang itu memberi keterangan yang bercanggah dan dia akhirnya mengaku membuat laporan palsu kerana kad pengenalannya hilang.

"Pekerja kilang itu memberitahu ini adalah kali kedua dia kehilangan kad pengenalan dan membuat laporan polis palsu kerana mahu mengelak daripada didenda.

Iklan

"Lelaki tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama