KUALA LUMPUR - MCA berpandangan kerjasama Muafakat Nasional terbentuk antara Pas dan UMNO adalah merujuk semangat solidariti kebersamaan antara parti-parti pembangkang di negara ini dan bukan satu gabungan rasmi.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerjasama seakan-akan Muafakat Nasional adalah senario biasa berlaku landskap politik negara sebelum ini sebagaimana diamalkan parti-parti pembangkang terdahulu.
Menurutnya, pihaknya merujuk kerjasama politik seperti Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif pada tahun 1999 dan Angkatan Perpaduan Ummah sekitar tahun 80-an yang membentuk gabungan parti pembangkang tidak rasmi bagi menghadapi pilihan raya.
"Sama ada Muafakat Nasional atau apa jua gabungan kerjasama parti pembangkang, kita menyokong sebarang bentuk semangat solidariti antara parti pembangkang asalkan selari Perlembagaan Persekutuan selain menekankan kepelbagaian kaum dan kesederhanaan dalam agenda politik mereka.
"Setakat pemahaman saya, Muafakat Nasional lebih kepada semangat kebersamaan parti pembangkang dan bukan satu gabungan rasmi. Jadi tidak timbul soal MCA perlu merestui dan menyertai Muafakat Nasional secara rasmi atau tidak," katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung MCA ke-66 di Dewan MCA di sini semalam.
Beliau berkata demikian sewaktu ditanya sama ada MCA komited untuk menyertai gabungan kerjasama politik Muafakat Nasional yang dimeterai antara UMNO sebagai salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) dengan Pas pada 14 September lalu.
Perjanjian itu dimeterai oleh UMNO dan Pas sempena Himpunan Penyatuan Ummah, yang disempurnakan oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Piagam berkenaan adalah satu dokumen terperinci menggariskan prinsip asas kerjasama, rasional, struktur dan modus operandi kerjasama dirangka menerusi Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal, yang masing-masing dianggotai 11 dan lima pemimpin bagi setiap parti.
Piagam Muafakat Nasional antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
Persoalan sama ada MCA akan menyertai Muafakat Nasional secara rasmi kini menjadi tumpuan umum, lebih-lebih lagi selepas parti itu mendapat kemenangan besar pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Terdahulu, Timbalan Presiden MCA, Dr Mah Hang Soon dalam satu kenyataan turut mengenepikan kemungkinan MCA akan menyertai Muafakat Nasional secara rasmi.
Ditanya mengenai ketiadaan kelibat pemimpin Pas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-66 hari ini sebagai rakan 'semangat solidariti pembangkang', Ka Siong menegaskan sudah menjadi tradisi parti itu hanya mengemukakan jemputan kepada rakan-rakan parti komponen BN sahaja.
"Sejak bila kita jemput parti bukan BN untuk hadir? Lebih setengah abad kita memegang prinsip menjemput adik-beradik dalam komponen BN seperti UMNO dan MIC sahaja untuk menghadiri perhimpunan agung tahunan kita.
"Kalau rakan parti komponen BN itu juga sudah keluar, kita juga tidak akan jemput semula," katanya.