PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019 susulan peragaan separuh bogel pada acara berkenaan.
Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kementerian berkenaan tidak pernah memberi sebarang kelulusan untuk acara peragaan separuh bogel.
"Adalah mustahil untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang ada elemen lucah seperti itu sebab itu bukan budaya Malaysia lebih-lebih lagi apabila majoriti rakyatnya beragama Islam.
"Ia juga tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia yang penuh kesopanan dan kesusilaan,” katanya.
Menurutnya, kementerian sudah mengarahkan agensi di bawah MOTAC iaitu Malaysia Convention and Exhibition Bereau (MyCeb) menjalankan siasatan.
"Ekspo ini bukan kali pertama diadakan di Malaysia dan tiada kejadian seumpama itu berlaku sejak penganjurannya pada 2015 di Kota Kinabalu, Sabah.
"Saya difahamkan ia diadakan secara tertutup tetapi melanggar tatasusila. Oleh itu, saya mengarahkan MyCeB untuk menyiasat perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penganjuran acara bertaraf antarabangsa baik untuk industri pelancongan namun bukan dengan acara seperti itu.
"Kita akan menanti laporan penuh siasatan dari MyCeB dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melanggar syarat ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, MyCeB dalam kenyataan awal menegaskan acara berkaitan perlu mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa negeri dan tempatan.
Semalam, tular di media sosial gambar berserta visual peragaan separuh bogel dalam satu acara dianjurkan pada ekspo berkenaan.
Tattoo Malaysia Expo 2019 yang berlangsung pada 29 November sehingga semalam, menghimpunkan peserta dari 35 negara.