SHAH ALAM - Dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Selangor mengesahkan akan menghadiri Kongres Nasional Tahunan parti itu yang akan berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) mulai 5 hingga 8 Disember ini.
Kedua-duanya adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Hee Loy Sian dan Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha.
Loy Sian menjelaskan, tidak timbul sebarang isu ketidakhadirannya ke Kongres Nasional dan menggambarkan kehadirannya ke kongres sebagai rutinnya sejak dahulu.
"Sudah 20 tahun lebih saya hadir. Kali ini pun saya mesti hadir, tiada sebarang isu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam pada itu, Haniza berkata, beliau akan turut menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Wanita, meluluskan minit, membahaskan ucapan dasar dan usul.
Terdahulu, ura-ura mengatakan beberapa pimpinan PKR yang didakwa dari kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan hadir ke Kongres Nasional Tahunan yang dijangka berlangsung selama empat hari bermula Khamis ini.
Dakwaan berkenaan timbul selepas 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR dikatakan sebulat suara menolak pemecatan Zakaria Abdul Hamid sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu dan menuntut Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf.
Kenyataan bersama itu terkandung dalam memo bertajuk ‘Pemecatan Zakaria Abdul Hamid Sebagai Ahli MPP Keadilan Adalah Tidak Sah' yang ditujukan kepada Lembaga Disiplin PKR.
Tiga daripada 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkenaan ialah Mohamed Azmin serta dua Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua, manakala 17 nama lain di dalam memo berkenaan ialah Haniza, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Hilman Idham dan Timbalan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi.
Ahli MPP lain termasuk Amiruddin Shaari, Datuk Mohd Rashid Hasnon, R Sivarasa, Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Radzlan Jalaluddin, Datuk Dr Mansor Othman, Datuk Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Datuk Seri R Santhara Kumar serta Zakaria sendiri.