Ada pihak wujudkan persepsi negatif

Iklan
Farhash Wafa Salvador

IPOH - Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendedahkan terdapat pihak tertentu cuba mewujudkan persepsi negatif mengenai institusi diraja melalui media sosial.

Menurutnya, tindakan itu termasuklah mempersoalkan perkahwinan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang baharu mengumumkan perletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong malam tadi.

Iklan
Iklan

Justeru, pihaknya meminta rakyat menghormati institusi raja berpelembagaan di negara ini.

"Ini termasuklah tidak mempertikaikan keputusan Sultan Muhammad V untuk tidak menghebah-hebahkan perkahwinan baginda dalam khalayak ramai.

Iklan

"Sesungguhnya perkahwinan itu adalah jodoh dan rahsia ketentuan Allah SWT, maka siapalah patik sekalian untuk mempertikaikan jodoh tuanku.

"Patik sekelian mendoakan perkahwinan ini bahagia hingga ke anak cucu," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Iklan

Farhash Wafa Salvador berkata, meskipun situasi mewujudkan persepsi negatif itu kerap berlaku, tuanku masih tidak pernah menyuarakan kemurkaan kepada rakyat Malaysia.

Beliau juga menegaskan sentiasa mengingati titah baginda Tuanku Sultan Muhammad V ketika sesi pembukaan dewan rakyat di mana semua Ahli Parlimen diminta duduk dan jangan lari sebagai gurauan bagi meredakan situasi tegang selepas PRU14.

"Patik menjunjung kasih di atas keputusan mempercepatkan proses pengampunan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membebaskan beliau di bawah perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Inilah sifat tuanku yang harus diteladani semua pemimpin supaya tidak melengahkan sesuatu yang baik hanya kerana zahir ia boleh mewujudkan fitnah," katanya.

Sultan Muhammad V bercuti sejak bulan November lalu dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua bulan yang berakhir 31 Disember lalu.

Pada bulan sama, tular gambar perkahwinan baginda dengan bekas ratu cantik Russia, Oksana Voevodina di media sosial.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak istana, walaupun Tuanku Sultan Muhammad V telah kembali ke Kelantan.

Sultan Muhammad V ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember 2016, menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dari Kedah.