KUALA LUMPUR - Seramai 3.2 juta pelajar dibantu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan dana pengeluaran pinjaman melebihi RM58.1 bilion sehingga 31 Oktober lalu.
Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, peranan PTPTN dalam menawarkan pinjaman pendidikan ternyata mampu mengubah taraf hidup rakyat Malaysia dan merealisasikan matlamat melahirkan generasi minda kelas pertama.
Menurutnya, dengan penubuhan PTPTN, kira-kira 180,000 pelajar baharu setiap tahun berpeluang menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui pinjaman perbadanan itu.
"Untuk tujuan pinjaman kepada pelajar baharu dan meneruskan komitmen pinjaman bagi pelajar lama, PTPTN memerlukan dana sekitar RM3 bilion hingga RM3.5 bilion setiap tahun.
"Justeru, kerjasama daripada peminjam PTPTN amat diharapkan agar mula dan konsisten melaksanakan bayaran balik pinjaman yang pernah diterima bagi kesinambungan pinjaman untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) 2019 Peringkat Negeri Kuala Lumpur yang disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun di Dewan Besar Menara PTPTN di sini kelmarin.
Wan Saiful berkata, masyarakat perlu memberi peluang kepada PTPTN melaksanakan tanggungjawab dan memainkan peranan bagi memastikan dana sentiasa mencukupi.
Menurutnya, langkah itu bukan kepentingan PTPTN semata-mata sebaliknya untuk dinikmati masyarakat khususnya pelajar yang akan ke menara gading.
"PTPTN bukanlah agensi pengutip hutang. PTPTN sebuah agensi memberikan pinjaman kepada pelajar dan memastikan tiada yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan,” katanya.
Mengulas mengenai penabungan pendidikan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), Wan Saiful berkata, pihaknya menyasarkan pendeposit berkualiti yang berhasrat membuka akaun tabungan dan bukannya sekadar mendapatkan pinjaman.
Katanya, PTPTN turut menggalakkan pendeposit SSPN dan peminjam sebelum ini mengaktifkan kembali akaun mereka dengan membuat simpanan.
"PTPTN menggalakkan ibu bapa menyimpan untuk pendidikan anak-anak seawal usia sehari lagi,” katanya.
919,011 tawaran WPP ditunaikan
Sebanyak 919,011 tawaran WPP telah ditunaikan dengan jumlah sebanyak RM1.4 bilion sehingga 31 Oktober lalu.
Rina berkata, perkara itu termasuklah penerima daripada kawasan Parlimen Titiwangsa, Parlimen Wangsa Maju dan Parlimen Bandar Tun Razak dengan jumlah 177 penerima serta melibatkan peruntukan sebanyak RM265,500.
"WPP diperkenalkan sejak tahun 1999 dilihat bertepatan dengan hasrat kerajaan meringankan beban rakyat. Ia juga bukti keprihatinan kerajaan membela semua golongan masyarakat kerana dengan wujudnya PTPTN, ibu bapa tidak lagi terpaksa menjual tanah, rumah dan meminjam bank untuk masa hadapan anak mereka.
"Saya hargai usaha PTPTN memastikan pembiayaan efisien disediakan kepada mahasiswa dan mahasiswi layak melanjutkan pengajian ke IPT kerana ia selaras dengan dasar kerajaan membolehkan setiap pelajar meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan,” katanya.
Rina berkata, Belanjawan 2020 dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober lalu, menyaksikan Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan tertinggi berbanding kementerian lain iaitu sebanyak RM64.1 bilion.
Usaha lahirkan generasi minda kelas pertama
Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 adalah permulaan kepada usaha PTPTN memastikan semua pelajar berpeluang menyambung pengajian walaupun mengalami masalah kewangan.
Wan Saiful berkata, WPP yang mula diperkenalkan pada 1999 dilihat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk meringankan beban rakyat.
"Bagi kemasukan pelajar peringkat diploma ke politeknik sesi Disember 2019, seramai 11,709 pelajar ditawarkan WPP ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM17.6 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan WPP Sesi Disember 2019 di Kolej Komuniti Arau, Perlis kelmarin.
Beliau berkata, jumlah itu termasuk penerima daripada kawasan Parlimen Arau seramai 20 orang, 50 orang dari Parlimen Kangar dan Parlimen Padang Besar seramai dua orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM108,000.
"Peranan PTPTN dalam menawarkan pinjaman pendidikan merealisasikan matlamat melahirkan generasi yang mempunyai minda kelas pertama,” katanya.
"PTPTN sentiasa komited dalam menyediakan pinjaman yang efisien kepada pelajar yang layak mengikuti pengajian di IPT,” katanya.