Bukan bukit terbelah tapi kepala air punca arus deras

Iklan
Keadaan air banjir yang melanda Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai petang semalam. - Foto: Pembaca Shahrul Shah

KOTA BHARU - Kejadian banjir arus deras yang berlaku secara tiba-tiba di Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai petang semalam bukan akibat daripada bukit terbelah sebaliknya berpunca dari kepala air.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, setakat siasatan pihaknya semalam tidak menemui kesan bukit yang terbelah seperti didakwa netizen malah keadaan banjir di daerah itu terkawal.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan

Iklan
Iklan

"Lewat petang semalam kami menerima maklumat sekumpulan 20 keluarga yang terkepung kerana air turun mendadak dan menghantar pasukan menyelamat sehingga kesemua mereka berjaya diselamatkan pada jam 8 malam.

"Setakat ini tidak ada bukit pecah, tidak ada siapa-siapa tengok dan (bukit terbelah) hanya dakwaan orang ramai.

Iklan

"Memang ada air turun sekaligus yang biasa dipanggil kepala air tetapi tidak terlalu kuat cuma turun secara sekali gus menyebabkan banjir mendadak bagaimanapun tidaklah sampai ke tahap banjir 2014,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Iklan

Hasanuddin turut memberi amaran tegas kepada netizen supaya tidak menularkan perkara yang tidak betul atau mengulang tayang gambar-gambar banjir pada tahun 2014 hingga menggusarkan penduduk di negeri ini.

"Keadaan paras air banjir di lapan daerah di negeri ini sememangnya ada turun naik termasuk di Kuala Krai yang boleh dikatakan sebagai banjir kilat namun jangan ada yang tular berita tidak sahih seperti empangan Pergau pecah dan sebagainya adalah tidak benar.

"Saya memberi amaran kepada pihak yang tular berita palsu supaya berhenti berbuat demikian kerana boleh menggugat ketenteraman penduduk di sini dan saudara mara yang ada di luar Kelantan. Mereka ini juga boleh didakwa mengikut undang-undang yang ada,” katanya.

Katanya, keadaan banjir di Kelantan secara keseluruhannya masih dalam keadaan terkawal dan meminta seluruh penduduk peka dengan keadaan semasa terutama yang tinggal di kawasan lembah seperti di Rantau Panjang.

"Saya meminta semua penduduk di negeri ini terus berwaspada dan patuhi arahan berpindah daripada pihak berkuasa bagi mengelak usaha menyelamat menjadi sukar sekiranya air naik pada waktu malam,” katanya.