RANTAU PANJANG - Pekan Rantau Panjang yang terkenal dengan ‘syurga’ membeli-belah lumpuh selepas kawasan itu ditenggelami banjir ekoran limpahan air Sungai Golok.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kesemua premis perniagaan di kompleks bebas cukai itu ditutup sepenuhnya.
Seorang penduduk, Hasnah Ismail, 40, berkata, air mula melimpah masuk ke dalam pekan ini sejak Sabtu lalu.
"Hujan lebat tanpa henti sejak beberapa hari lalu menyebabkan air naik dengan cepat.
"Ditambah pula dengan pembinaan benteng banjir di sebelah Thailand mempercepatkan lagi peningkatan paras air,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun paras air hari ini masih bertahan.
Katanya, penduduk tetap sentiasa waspada dan peka dengan maklumat semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa.
"Walaupun sudah lali dengan banjir tapi kami sentiasa peka dengan perkembangan semasa,” katanya.
Sementara itu, portal ebanjirkelantan setakat jam 2 petang hari ini menunjukkan paras air Sungai Golok semakin naik dan berada pada tahap amaran iaitu 10.59 meter berbanding 10.45 meter sebelumnya.
Bagaimanapun, anggota pasukan penyelamat masih lagi bertungkus-lumus memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).