Mahkamah Persekutuan kekal keputusan batal kemenangan Anifah

Iklan
Anifah Aman

SHAH ALAM - Mahkamah Persekutuan Putrajaya semalam mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai tidak sah dan terbatal.

Perkembangan itu menyaksikan satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ke-10 yang bakal diadakan dalam tempoh pasca PRU14.

Iklan
Iklan

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat yang menyimpulkan tiada kekhilafan dalam penemuan fakta kes itu oleh hakim pilihan raya.

Tengku Maimun berkata, terdapat beberapa percanggahan dalam tindakan dan ketidakpatuhan terhadap undang-undang pilihan raya secara meluas dan menjejaskan keputusan pilihan raya.

Iklan

Pada 16 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Lee Heng Cheong menolak kemenangan Anifah kerana didapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Petisyen berhubung kemenangan itu difailkan oleh Datuk Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah pada 18 Jun tahun lalu dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama manakala Pegawai Pilihan Raya Parlimen Kimanis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Iklan

Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memperoleh 11,942 undi menewaskan Karim dengan majoriti tipis 156 undi.

Beliau kemudian bertindak keluar UMNO pada 19 September 2018 dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.