BANGKOK - Beberapa pengunjung sebuah tapak pesta ria (fun fair) di Thailand mengalami situasi buruk apabila tercampak dari salah satu permainan tunggangan bertemakan lanun selepas palang keselamatan terbuka secara tiba-tiba.
Kejadian mengejutkan itu berlaku di Lopburi, tengah Thailand kelmarin.
Tidak lama selepas permainan bermula, palang keselamatan yang sepatutnya dikunci telah terbuka dan menyebabkan beberapa mangsa tercampak dari tempat duduk mereka.
Salah seorang saksi, Jidapa berkata, dia membawa ahli keluarganya ke tapak tersebut dan terdengar orang mula menjerit sebelum mereka yang duduk di kerusi bahagian atas terjatuh.
"Mereka terhempas dengan sangat kuat. Salah seorang remaja perempuan menangis kerana terkejut dan seorang budak lelaki tercampak ke tanah serta mengalami kecederaan di bahagian kepala.
"Saya tidak pernah melihat kejadian seperti itu. Ia sangat menakutkan," katanya.
Difahamkan, pasukan paramedik tiba di tempat kejadian dan membawa mangsa cedera ke hospital berhampiran.
Pihak polis yang tiba tidak lama kemudian turut mengarahkan tunggangan itu ditutup sementara mereka menyoal siasat pemilik tapak berkenaan. - Agensi