Melaka River Cruise tutup tiga hari

Iklan
Azlan Abidin

MELAKA TENGAH - Penutupan sementara perkhidmatan bot pelancong 'Melaka River Cruise' (MCR) selama tiga hari, bermula 15 Januari bagi memberi laluan kerja-kerja penambahbaikan perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM) Azlan Abidin berkata, ia berikutan pihaknya mahu mempertingkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan dari segi keselesaan dan keselamatan pengunjung yang menggunakan produk pelancongan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, biarpun penutupan itu akan menjejaskan sedikit jumlah kutipan tiket, namun dalam masa yang sama ia memberi peluang kakitangannya untuk menyertai 'team building' yang kebiasaannya diadakan pada bulan Januari setiap tahun.

"Saya yakin melalui aktiviti secara kumpulan, akan dapat memantapkan dan menambahbaik perkhidmatan yang akan diberikan oleh kakitangan kami selepas ini.

Iklan

"Ini juga sejajar untuk kita bersama memeriahkan Tahun Melawat Melaka dengan sasaran seramai 1.5 juta pengunjung MCR sepanjang tahun ini," katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Tambah Azlan, tahun ini juga berlaku pembaharuan dan transformasi kepada produk pelancongan di Sungai Melaka itu dengan kewujudan bot Mawar yang diceriakan dengan lampu hiasan serta menawarkan perkhidmatan sambutan majlis di atas bot seperti majlis ulang tahun dan sebagainya.

Iklan

Menurutnya dua bot baharu juga akan ditambah, dijangka akhir bulan ini bagi memberi lebih keselesaan kepada pengunjung yang semakin ramai terutama pada musim cuti persekolahan dan cuti umum.

"Seperti cuti tahun baharu minggu lalu, kita menerima kehadiran kira-kira 8,000 pengunjung dan satu jumlah yang begitu memberangsangkan.

"Penambahan dua bot baharu bagi menambahkan bilangan 34 buah bot yang sedia ada, yang mana kita turut sasarkan untuk memiliki 55 buah bot bagi menampung keperluan MCR Fasa Dua selain 21 bot yang akan ditukar ganti baharu hingga tahun depan," katanya.