Zahid bayar RM1.3 juta bagi empat kad kredit: Saksi

Iklan
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi keluar dari bilik Mahkamah Jenayah 1, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayar hampir RM1.3 juta bagi empat kad kreditnya antara Januari 2014 dan Januari 2016 yang digunakannya termasuk membeli-belah barang mewah di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Amerika Syarikat (AS) dan Itali.

Perkara berkenaan dimaklumkan Naib Presiden Kanan Ambank Berhad (Ambank) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan kad kredit dan kawalan penipuan, Yeoh Eng Leong, 58, kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, jumlah pembayaran sebanyak RM1,296,715.98 dicatatkan untuk empat kad kredit, AmIslamic Bank VISA Infinite (VISA 0344 Zahid Hamidi), AmIslamic Bank World Mastercard (Mastercard 1095 Zahid Hamidi), AmIslamic Bank VISA Infinite (VISA 0419 Hamidah Khamis) dan AmIslamic Bank World MasterCard (Mastercard 1137 Hamidah Khamis).

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata, bekas timbalan perdana menteri itu memiliki dua kad utama, manakala isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis memegang dua kad tambahan.

Iklan

"Semua empat kad mempunyai gabungan had kredit RM250,000," katanya semasa membaca penyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Lee Keng Fatt pada hari kelima perbicaraan kes Ahmad Zahid, yang berdepan dengan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Eng Leong berkata, selain tiga negara berkenaan, Ahmad Zahid dan Hamidah juga menggunakan kad tersebut di Kuala Lumpur, United Kingdom, Britain, Korea Selatan, Ukraine, Australia, Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan China.

Iklan

Menurut saksi itu, yang merujuk penyata kad kredit bertarikh 28 April 2014, VISA 0419 milik Hamidah digunakan dalam beberapa transaksi di Hong Kong, Malaysia dan Australia berjumlah RM130,359.83.

Jumlah berkenaan termasuk RM26,893.33 yang dibelanjakan di Burberry Asia Ltd di Kowloon, Hongkong; RM9,500 di Louis Vuitton di Starhill, Kuala Lumpur; RM7,919.35 di Swarovski di Melbourne, Australia; dan RM18,568.66 di sebuah lagi gedung Louis Vuitton di Southbank, Australia.

Kad yang sama digunakan untuk pembayaran sebanyak RM215,542.69 bagi pembelian di New York, AS sebagaimana yang dinyatakan dalam penyata kad kredit bertarikh 28 Jun 2015.

Ia termasuk RM130,313.20 dibelanjakan di Stefano Ricci America, RM17,252.34 di Burberry 400 dan RM45,095.60 di Brioni.

Pegawai bank berkenaan berkata, berdasarkan rekod pembayaran bagi Januari 2014 hingga Januari 2016, pemegang kad utama, Ahmad Zahid membuat 37 pembayaran secara keseluruhan.

"Daripada 37 pembayaran berkenaan, dua cek dikembalikan. Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, pembayaran dibuat melalui cek tempatan.

"Jumlah pembayaran yang diterima dari Januari hingga Disember 2014 ialah RM534,412.52; Januari hingga Disember 2015 sebanyak RM708,134.47 manakala Januari 2016 ialah RM54,168.99," katanya.

Semasa ditanya TPR Datuk Raja Rozela Raja Toran siapa yang biasanya membuat pembayaran kad tambahan, Eng Leong menjawab:"Pemegang kad utama, Ahmad Zahid."

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama