SHAH ALAM - Aliran sokongan pengundi Pas boleh menentukan parti mana yang akan menang pada PRK Cameron Highlands, 26 Januari ini.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, selain daripada itu, sokongan pengundi Orang Asli juga akan menentukan parti mana akan memenangi PRK keempat selepas PRU14 ini.
"Bagaimanapun saya tidak nafikan persaingan kali ini hebat kerana BN pembangkang dan PH pemerintah," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Sivamurugan, peluang BN bergantung kepada pembentukan pasukan jentera yang mantap; calon yang wibawa kerana Datuk Sivarraajh Chandran sudah memainkan peranan yang besar dalam menangani beberapa isu sepanjang enam bulan menjadi Ahli Parlimen.
"Kerjasama Pas jika pengundi mereka keluar dan sokong calon BN kerana dalam PRU lepas sebanyak 3,800 undi mengalir kepada mereka," katanya.
Sementara itu menurut penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib pula, peluang BN untuk mengekalkan kemenangan di Cameron Highlands adalah tipis.
Jelasnya, ini didasari dengan isu beli undi yang didapati salah oleh mahkamah.
"Lebih memalukan apabila wakil rakyat BN yang terpilih pada PRU14 lepas di dapati berkomplot membeli undi.
"Ini mencalar imej BN, siapa pun calon BN pasti terpalit dengan cerita kontroversi berkaitan salah guna kuasa dan rasuah sebegini," katanya.
Jelas Md Shukri lagi, PRK kali ini akan menjadi pertembungan antara Kerajaan Negeri Pahang di bawah BN yang didominasi pengaruh kuat Datuk Seri Najib Razak sebagai ikon utama, bertembung dengan kekuatan kerajaan Pusat di bawah PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kombinasi pengaruh PH dilihat lebih kukuh walaupun diselebungi oleh isu-isu yang pelbagai.
"Kombinasi kawasan PRK Cameron Highlands yang unik dengan komposisi lebih 20 peratus pengundi kaum Orang Asli juga memberikan impak sokong
yang lebih kepada Kerajaan Pusat menerusi usaha mendekati mereka yang lebih mudah," katanya.
Katanya, masyarakat Orang Asli akan menjadi penentu kepada kemenangan sama ada PH atau BN.
"PH juga tidak boleh leka, kerana undi protes bila-bila masa boleh berlaku jika wujud isu domestik yang secara tiba-tiba tercetus dan
ianya lebih kuat berperanan berbanding isu nasional," katanya.
Katanya lagi, isu calon dan sokongan pemimpin parti tempatan dan tokoh penting di kawasan itu perlu diberi perhatian serius.
"Gabungan BN dan Pas yang lemah juga tidak nampak ada halatuju ikhlas dan mantap. Tiada usaha jelas untuk menunjukkan kerjasama akar umbi
yang serius.
"Bolehkan pengundi Pas memberikan sokongan pada BN di kotak undi kali ini, ia akan menarik perhatian. Jika orang Pas boleh terima Umno dan BN, maka PH akan tergugat teruk bukan sahaja di Cameron Highlands tetapi juga di seluruh negara terutama negeri-negeri Melayu di Pantai Timur dan Utara semenanjung Tanah Melayu," katanya.