RATU gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan Tan Ing Yueh memberikan permulaan yang cemerlang untuk pasukan gimnastik artistik wanita negara di Sukan SEA ke-30 dengan memberikan pingat emas dan gangsa dalam acara ‘all-round’ hari ini.
Atlet berusia 25 tahun itu, yang memberikan persembahan bertenaga selepas menerima sorakan kuat dari penonton di Rizal Memorial Coliseum di sini, mengungguli keseluruhan dengan mengumpulkan 48.05 mata selepas tamat keempat-empat rutin.
Farah yang telah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, memulakan persembahan dengan 12.55 mata pada melombol dan 12.45 mata untuk palang bertingkat, namun sedikit gugup di batang titian dan hanya mengutip 9.550 mata.
Bagaimanapun, atlet itu memukau semua dengan gerakannya pada acara senam lantai untuk mengutip 12.50 mata sekali gus mengutip emas kelimanya, yang pertama dalam acara all-event, dan pingat kesepuluh pada sukan dwitahunan itu.
Gimnas Indonesia Rifda Irfanaluthfi menang perak dengan 47.80 mata keseluruhan dan diikuti Ing Yueh dengan 46.90 mata yang menjadikan dua atlet Malaysia berada di atas podium.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah, Farah menganggap emas tersebut sebagai satu yang istimewa, selepas mengidamkannya untuk sekian lama.
"Setiap kali saya sertai pertandingan, saya hanya mahu lakukan rutin saya, buat yang terbaik yang boleh saya lakukan dan elakkan dari melakukan kesilapan. Penonton di sini amat menakjubkan, masyarakat Filipina amat baik, saya amat gembira kerana dapat sokongan mereka.
"Selepas saya di batang titian dan jatuh selepas rutin pertama, jadi saya jadi sedikit gugup, saya cuba untuk tidak melakukan kesilapan besar kerana mata tidak akan lebih rendah daripada yang saya mahukan.
"Selepas itu saya cuma mahu lakukan senaman lantai dan menikmati rutin itu, kerana ia satu pertandingan dan apa-apa boleh berlaku. Untuk acara selanjutnya, saya rasa 50-50, saya amat gembira hari ini dan mahu lakukan yang terbaik,” katanya.
Farah akan bertanding dalam melombol dan palang bertingkat individu wanita, esok.
Untuk rekod, Farah telah memenangi emas dalam acara berpasukan dan senaman lantai di Sukan SEA Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017. - Bernama