Dua abang harung air paras dada selamat adik lumpuh

Iklan
Normazni menemani anaknya ketika berpindah di PPS Kampung Paya Besar, Hulu Terengganu.

HULU TERENGGANU - Kasih tanpa syarat, itu perumpamaan terhadap pengorbanan dua abang yang sanggup bergadai nyawa mengharungi air paras dada sambil mendukung adiknya yang lumpuh setelah rumah mereka dinaiki air kira-kira jam 10 malam semalam.

Pengalaman itu diceritakan ibu mereka, Normazni Mohd Nawi, 49, ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Paya Besar di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia agak panik selepas melihat air naik kerana risau dengan keadaan anak kedua bongsunya, Muhammad Rasydan Sufi Othman, 9, yang lumpuh selepas terlibat kemalangan tiga bulan lalu.

"Air dah naik jam 10 malam semalam, tapi waktu tu agak gelap jadi saya tak berani nak berpindah dan memutuskan untuk tunggu keesokannya.

Iklan

"Tak sangka pula pada sebelah pagi air naik mendadak. Mujurlah dua abang kepada Rasydan ada di rumah dan kedua-duanya bergilir mendukung adiknya untuk ke PPS," katanya.

Bercerita mengenai insiden menimpa anaknya, Normazni berkata, anak kesembilan daripada 10 adik beradik itu dilanggar sebuah kereta dalam perjalanan untuk pulang ke rumah selepas menunaikan solat Jumaat di masjid.

Iklan

"Sebelum kemalangan Rasydan memang aktif dan sering menghabiskan masa bermain bola sepak dengan rakan-rakannya selepas waktu sekolah.

"Namun setelah dilanggar sebuah kereta Rasydan tidak dapat bergerak dan berjalan seperti biasa kerana kecederaan saraf dan hanya terlantar di katil.

Dua abang Muhammad Rasydan Sufi yang sanggup bergadai nyawa menyelamatkan adik kesayangan mereka.

"Dia juga tidak dapat bercakap dan hanya mampu memberikan isyarat sekiranya mahu meminta sesuatu," katanya.

Dia berkata, anaknya itu kini bergantung bekalan susu dan lampin pakai buang sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

ARTIKEL BERKAITAN: 5,476 mangsa banjir di Terengganu

Normazni yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berkata, perbelanjaan meningkat selepas terpaksa menampung untuk kos rawatan anaknya itu tambahan pula perlu menampung perbelanjaan lima anaknya yang masih bersekolah.

"Dengan pendapatan suami sebanyak RM1,200 sebulan sebagai pengawal keselamatan, memang agak perit.

"Tetapi kami pasrah dan akan terus berusaha untuk kesihatan Rasydan," katanya.

Katanya, setiap Khamis dia dan suaminya, Othman Jusoh, 56, akan membawa anaknya itu ke Hospital Hulu Terengganu untuk menjalani rawatan fisioterapi.

"Kami bawa dia berubat merata tempat. Alhamdulillah usaha ini berbaloi kerana sudah nampak sedikit perubahan," katanya.

Normazni sekeluarga antara 99 penduduk dari Kampung Lebak, Tanjung Putat dan Paya Besar yang dipindahkan ke PPS berkenaan sejak jam 11 pagi tadi.