PUTRAJAYA - Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau sedih namun tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangannya bagi kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum lepas.
"Saya akan kembali ke Kimanis dan berbincang dengan penyokong saya mengenai tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan.
Anifah tanpa parti selepas meninggalkan UMNO pada September 2018. Beliau memegang kerusi Kimanis selama 20 tahun selepas memenanginya buat pertama kali pada 1999.
Hari ini, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos tahun ini yang mengisytiharkan kemenangan Anifah di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.
Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen itu pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.
Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi. Beliau memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.
Sementara itu di Kota Kinabalu, Warisan menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan itu.
Setiausaha Agungnya, Loretto Padua bagaimanapun mengingatkan pemimpin dan ahli parti bahawa kemenangan sebenar adalah apabila Warisan memenangi pilihan raya kecil (PRK) nanti.
Sementara itu, mengenai calon yang bakal dipilih bertanding dalam PRK nanti, beliau berkata, ia adalah keputusan Presiden Warisan dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Bernama