Kejayaan boling padang warnai hari gemilang kontinjen Malaysia

Iklan
Atlet Boling Padang Negara kategori ‘Women Four’ Nur Ain Nabilah Tarmizi ketika beraksi menentang pasukan Filipina pada Perlawanan Acara Boling Padang Kategori ‘Women Four’ sempena Sukan Sea Filipina 2019 di CDC Friendship Gate hari ini. - Foto Bernama

KEJAYAAN skuad boling padang negara meraih tiga pingat emas mewarnai hari gemilang kontinjen Malaysia pada hari kedua Sukan SEA ke-30 di Filipina, hari ini.

Selain tiga emas berkenaan, Malaysia turut meraih empat lagi pingat emas, masing-masing menerusi acara wushu, gimnastik artistik, bola jaring dan pencak silat.

Iklan
Iklan

Kontinjen negara negara turut menambah lima gangsa, masing-masing dalam acara pencak silat, angkat berat, bola keranjang wanita 3x3, boling padang dan gimnastik artistik.

Tambahan tujuh emas yang dilakar atlet negara menyaksikan Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga keseluruhan dengan kutipan 11 emas, dua perak dan 11 gangsa.

Iklan

Tuan rumah, Filipina mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas carta kutipan pingat menerusi kutipan 38 emas, 21 perak dan 14 gangsa, disusuli Vietnam di tempat kedua dengan kutipan 15 emas, 20 perak dan 19 gangsa.

Pada aksi hari ini, atlet wushu negara, Loh Choon How memulakan tuaian emas kontinjen Malaysia setelah mengungguli acara Taijijian lelaki dengan kutipan 9.68 mata pada aksi di World Trade Center, Manila.

Iklan

Lebih manis, ia merupakan pingat emas peribadi kedua diraih Loh setelah memenangi acara Taijiquan semalam.

Skuad boling padang negara yang diketuai pemain veteran, Siti Zalina Ahmad, terus menceriakan kem Malaysia apabila meraih tiga emas dan satu gangsa pada aksi di CDC Lot Friendship Gate di Clark.

Tiga emas berkenaan diperolehi dalam acara triples lelaki, selain pairs dan fours wanita, selain gangsa tunggal dalam acara pairs lelaki menerusi gandingan Muhammad Hizlee Abdul Rais dan Muhammad Soufi Rusli.

Skuad bola jaring negara menambah emas kelima setelah menundukkan musuh tradisi, Singapura menerusi kemenangan 48-42 pada aksi final di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna.

Kemenangan penuh dramatik dilakar skuad bola jaring negara menyaksikan mereka mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Emas keenam negara hadir menerusi gandingan pesilat negara, Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga yang menguasai acara ganda putra pada aksi di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic.

Atlet gimnastik Malaysia, Farah Ann Abdul Hadi ketika menyanyikan lagu kebangsaan, 'Negaraku' selepas memenangi pingat Emas dalam acara All Round Wanita Akhir pada Sukan SEA Manila 2019 di Rizal Memorial Sports Complex hari ini. - Foto Bernama

Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi melengkapkan hari gemilang untuk kontinjen negara setelah mengungguli acara individu all-round wanita dengan kutipan 48.050 mata di Rizal Memorial Coliseum, Manila.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari ketiga, esok dalam beberapa acara, antaranya catur, kenu dan kayak. - Bernama