KOLKATA - Beberapa pekerja kantin di sebuah kem tentera di Bengal Barat, India gempar apabila seekor gajah menyerbu masuk ke dalam premis berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang (waktu tempatan) Sabtu lalu, seekor gajah masuk ke dalam kantin tersebut sebelum tiba-tiba naik minyak.
Iklan
Iklan
Insiden di kantin tentera Hasimara itu turut dirakam dan tular selepas ia dimuat naik di Twitter.
Menerusi klip video berdurasi 60 saat itu, mamalia tersebut dilihat merempuh beberapa kerusi dan meja dalam kantin sementara jeritan pekerja kedengaran dalam usaha menghalau gajah terbabit.
Beberapa pekerja turut membaling telur ke arah gajah tersebut sehinnga ia akhirnya meninggalkan lokasi kejadian selepas seorang lelaki menyalakan api.
Difahamkan, kem tentera terbabit terletak hanya beberapa meter daripada hutan Chilapata yang menjadi habitat kepada gajah di daerah tersebut.
Kejadian gajah menceroboh kawasan kantin dan perumahan di Hasimara kerap terjadi, namun tiada kejadian lebih buruk dilaporkan berlaku. - Agensi