Jakim perlu wajibkan pengusaha restoran ada sijil halal

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu mewajibkan semua pengusaha premis makanan halal mendapatkan sijil pengesahan halal bagi kemudahan pelanggan Islam.

Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan & Selangor (Permas) Ayob Abd Majid berkata syarat itu perlu bagi semua premis termasuk restoran, warung dan ‘food truck’ sama ada yang sedang beroperasi atau ingin memulakan perniagaan.

Iklan
Iklan

Langkah itu dapat membantu pelanggan Muslim yang kadang-kadang keliru dengan status halal sesebuah restoran yang menjual makanan kepada pelanggan Muslim.

"Setakat ini kita dapati tiada lagi garis panduan dari Jakim yang mewajibkan pengusaha restoran untuk ada sijil halal, (ini kerana) selagi mana pengusaha ada sijil boleh berniaga dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mereka boleh terus membuka restoran.

Iklan

"Restoran-restoran besar seperti hotel dan francais, mereka perlu ada sijil halal Jakim untuk mula beroperasi, justeru Permas mencadangkan untuk Jakim mewajibkan juga perkara ini kepada pengusaha restoran yang menjual makanan halal supaya pelanggan Muslim lebih yakin dengan status halal sesebuah restoran," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ayob berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemeriksaan bersepadu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang dijalankan semalam terhadap sebuah restoran di Shah Alam, pada mulanya mendapati seorang pemilik bersama restoran itu beragama Hindu.

Iklan

Pemeriksaan lanjut JAIS mendapati restoran yang disangka restoran 'mamak' itu turut mendapati hampir semua pekerja termasuk tukang masak adalah beragama Hindu selain hanya dua orang sahaja beragama Islam, serta kesalahan menjual daging kambing yang tiada sijil halal.

Ayob turut menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum memasuki sesebuah restoran, serta terus melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya mendapati terdapat keraguan mengenai status halal restoran itu.

"Memang pihak berkuasa seperti Jais sering membuat operasi sebegini terhadap restoran-restoran, tetapi orang ramai perlu turut lebih berhati-hati apabila memasuki sesebuah restoran, jangan main ikut orang sahaja tanpa memastikan status halalnya.

"Orang ramai di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan yang ingin membuat aduan boleh terus menghubungi pihak JAIS atau sekiranya ingin mengadu kepada Permas boleh dibuat di laman Facebook Permas bagi tindakan susulan," katanya. - Bernama