SEJAK seminggu lalu, negara dikejutkan dengan berita abu mayat ketua pengganas komunis Chin Peng yang diseludup masuk ke Malaysia. Abunya ditaburkan di kawasan hutan banjaran Titiwangsa, manakala sebahagian lagi di laut di perairan Lumut, Perak.
Malaysia terbahagi dua ketika berdepan isu ini. Ada yang membantah, manakala di satu pihak lagi melihat ia bukan satu isu besar sementelah yang ditabur itu hanya abu mayat. Abu kononnya tidak mengubah apa-apa.
Namun, hanya berselang seminggu, Malaysia dikejutkan pula dengan perhimpunan melibatkan lebih 300 orang yang dipercayai veteran-veteran Parti Komunis Malaya (PKM). Majlis itu diadakan di Kajang, Selangor malam kelmarin.
Tema perhimpunan kedengaran ‘enak’ iaitu sempena Ulang Tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai. Namun, banyak persoalan mula timbul susulan satu demi satu perbuatan bekas anggota dan penyokong PKM itu.
Adakah ia sememangnya sudah dirancang atau berlaku secara kebetulan? Dan sekiranya ia sudah dirancang apakah agenda sebenar kumpulan itu?
Kerajaan dan pihak berkuasa tidak seharusnya mengambil mudah rentetan kejadian tersebut.
Memang benar, yang ditabur di hutan dan di laut hanyalah abu mayat yang tidak boleh berbuat apa-apa lagi.
Namun, apa yang kita bimbang ialah keberanian kumpulan tersebut melanggar daulat negara dengan menyeludup masuk abu mayat Chin Peng tanpa kebenaran kerajaan.
Seterusnya, perbuatan menabur abu mayat Chin Peng di Malaysia secara tidak langsung dapat dianggap turut menabur bersama benih-benih ideologi dan mengagungkan kembali perjuangan komunis.
Petanda dan tindak-tanduk mereka itu semakin berani serta melampau. Gerakan mereka kini diadakan secara terbuka dan diuar-uar pula kepada umum tanpa rasa takut serta segan silu.
Memang benar sejarah ditulis oleh mereka yang menang, tetapi sejarah kekejaman komunis membunuh perajurit negara, malah orang awam yang tak berdosa tidak wajar dipadam dan dilupakan.
Kini terserahlah kepada kerajaan dan pihak berkuasa untuk bertindak.
Yang pasti, sejarah perjuangan pengganas komunis ibarat parut luka besar dalam sejarah Malaysia. Usahlah ditoreh semula luka itu kerana dibimbangi bisanya akan lebih parah lagi.