MANCHESTER City masih berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun prestasi mereka berada dalam keadaan kurang meyakinkan dalam beberapa perlawanan lalu termasuk ketika aksi menentang Newcastle United yang berkesudahan seri 2-2 di St James’s Park kelmarin.
Tonggak City, John Stones berkata, skuad kendalian Pep Guardiola itu masih belum mahu menyerlah kalah kerana yakin mampu menghasilkan keputusan positif dalam pemburuan kejuaraan.
Menurutnya, keyakinan pemain-pemain The Citizens itu berdasarkan pengalaman musim lalu yang menyaksikan mereka bangkit melakar 14 kemenangan berturut-turut seterusnya menyingkirkan Liverpool daripada pemburuan kejuaraan liga.
"Musim lalu kami pernah berdepan situasi sama yang mana penyokong-penyokong mula meragui kemampuan kami mengekalkan kejuaraan liga.
"Namun, kesudahannya kami membuktikan dengan karakter positif dan semangat tidak menyerah kalah, trofi kejuaraan kekal sekali lagi di Manchester City,” katanya.
Mengakui 11 mata yang ditinggalkan pendahulu liga, Liverpool memberi impak kepada momentum The Citizens, namun Stones percaya ia sebagai satu cabaran kepada pemain-pemain City.
"Situasi sama seperti musim lalu yang mana ketika itu kami ketinggalan sembilan mata di belakang Liverpool. Pemain-pemain perlu bersikap positif dan pada masa sama memperbaiki kelemahan.
"Kami perlu merenungkan situasi ini pada sudut positif dan kembali fokus setiap perlawanan kerana jadual perlawanan masih panjang,” katanya.
City yang kini menghuni tangga ketiga dengan 29 mata selepas mengharungi 14 perlawanan, bakal bertandang ke Turf Moor menentang kelab pertengahan liga, Burnley awal pagi Rabu ini.