HULU TERENGGANU - Pemilik sebuah kedai runcit di Kampung Paya Besar, di sini mengalami kerugian sehingga mencecah RM20,000 setiap tahun akibat lokasi perniagaannya itu dinaiki air.
Fatimah Yasin, 57, yang merupakan ibu tunggal kepada enam anak berkata, kebanyakan barangan di kedainya itu tidak dapat diselamatkan kerana air naik secara mendadak.
"Ada barang yang boleh diselamatkan tu saya selamatkan. Macam barang-barang berat seperti peti ais, tong gas dan sebagainya, saya tak mampu nak angkat.
"Kalau barangan yang saya sangkut tinggi atau yang diletakkan atas para (rak) yang lebih tinggi, ia boleh diselamatkan," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Paya Besar, di sini semalam.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan modal banyak menggantikan semula barangan yang rosak.
Ditanya mengapa tidak berpindah ke lokasi lain atau mencuba pekerjaan lain, katanya, dia tidak mampu untuk mengeluarkan modal berpindah ke lokasi lebih selamat.
"Saya dah berniaga lebih kurang 20 tahun di Kampung Paya Besar dan sepanjang tempoh itu, hanya dua atau tiga kali sahaja kedai tak dinaiki air banjir.
"Setiap tahun, saya terpaksa juga mengeluarkan modal membeli barangan baharu kerana hanya kerja itu yang saya pandai buat.
"Saya pasrah dengan keadaan ini sebab tak pandai buat kerja lain," katanya.