JAKARTA - Dua tentera Indonesia cedera dalam kejadian letupan di Monumen Nasional berhampiran Istana Presiden di tengah ibu negara, menurut polis hari ini.
"Siasatan awal mendapati insiden itu berpunca daripada bom asap. Kami masih menyiasat kenapa ada bom itu di sana dan tiada objek lain ditemukan di sekitar kawasan tersebut," kata Ketua Polis Jakarta, Gatot Eddy Pramono.
Iklan
Iklan
Jelasnya, kedua-dua anggota yang cedera itu kini dirawat di hospital tentera di Jakarta.
Sementara itu, Ketua Tentera Jakarta, Eko Margiyono memaklumkan, mangsa melakukan aktiviti rutin pagi apabila mereka ternampak objek mencurigakan.
"Salah seorang daripadanya memegang bom asap itu hingga menyebabkan kecederaan teruk pada tangan kirinya," ujarnya.
Dalam satu kenyataan lain, jurucakap polis, Yusri Yunus memberitahu, bom itu biasanya digunakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Beliau bagaimanapun tidak mengaitkannya dengan protes secara aman yang disertai ribuan penyokong kumpulan konservatif Islam berhampiran Monumen Nasional semalam. - Agensi