Prosiding semakan kehakiman petisyen pilihan raya Parlimen Jasin ditangguh

Iklan

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan membenarkan penangguhan prosiding semakan kehakiman petisyen Pilihan Raya Parlimen Jasin bagi memberi laluan terhadap persoalan perundangan berkaitan bidang kuasa mahkamah yang dibangkitkan oleh peguam Datuk Hafarizam Harun.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed yang mempengerusikan lima panel hakim bersidang berkata, kes berkenaan akan melalui proses pengurusan kes pada minggu hadapan.

Iklan
Iklan

"Tarikh akan ditetapkan pada pengurusan kes," katanya.

Panel yang turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Nallini Pathmanathan, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Iklan

Hafarizam yang mewakili Datuk Seri Ahmad Hamzah ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya akan membangkitkan persoalan sama ada Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkenaan ataupun tidak.

"Seksyen 35A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan perbicaraan tiap-tiap petisyen pilihan raya hendaklah diselesaikan tidak lewat daripada enam bulan daripada tarikh petisyen.

Iklan

"Bagi kes ini, Khairuddin petisyen ini pada Jun tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Khairuddin ketika ditemui mengharapkan agar kes berkenaan selesai selewat-lewatnya Februari depan bagi mengelak sebarang komplikasi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam membuat apa-apa tindakan sekiranya keputusan semakan kehakiman itu memihak kepadanya.

"Ini kerana lazimnya jika tempoh kurang daripada dua tahun sebelum berakhirnya tempoh penggal pilihan raya tiada pilihan raya kecil akan diadakan," katanya.

Terdahulu pada prosiding itu, Khairuddin diwakili peguam, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Pada 12 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abu Bakar Jais menolak petisyen tersebut selepas memutuskan kemenangan Ahmad di kerusi Parlimen Jasin adalah sah dan tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Khairuddin diperintah membayar RM200,000 kepada Ahmad dan RM200,000 lagi kepada Pengurus Pilihan Raya, Zamrud Yahya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden kedua dan ketiga.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Khairuddin kalah kepada Ahmad dengan perbezaan 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru yang menyaksikan Ahmad mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi sementara calon PAS, Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.