KRATIE - Usaha sukarelawan Universiti Utara Malaysia (UUM)-ASEAN Students Volunteer Mission To Cambodia berjaya menghantar sumbangan rakyat Malaysia berjumlah RM24,773.60 kepada komuniti Muslim di Kampung Krakor Kratie baru-baru ini.
Sumbangan membabitkan wang tunai, naskhah Al-Quran, kelengkapan solat dan bantuan makanan itu diserahkan Imam Masjid Al Hidayah, Kampung Krakor, Ishak Ahmad, 52.
Menurut Ishak, kampung yang terletak kira-kira 253 kilometer atau tujuh jam perjalanan dari ibu kota Phnom Penh itu kali menerima tetamu dari Malaysia.
"Saya mendoakan kalian semua dimurahkan rezeki oleh Allah,” tulisnya dalam bahasa Khmer kepada delegasi melibatkan 22 mahasiswa dan kakitangan UUM.
Ishak berkomunikasi dalam bahasa Khmer dan tulisannya diterjemahkan oleh anaknya, Mohmd Rabani, 25.
"Saya amat terharu dan serta mendoakan agar Allah S.W.T memurahkan rezeki kepada semua yang membantu misi ini. Kami juga amat berterima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh rakyat Malaysia untuk kampung ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah UUM-ASEAN Students Volunteer Mission To Cambodia, Awis Al Qarni, 21, berkata, program pertama itu dianjurkan oleh Persatuan Inovasi Mahasiswa (INOVA) dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kolej Sastera dan Sains (PPA CAS) UUM.
"Misi ini terbahagi kepada dua fasa iaitu kempen pengumpulan dana dan perlaksanaan misi. Ia sangat mencabar kerana memerlukan kesabaran, perancangan dan strategi yang betul. Misi ini juga banyak memberi pengalaman yang berharga untuk kami.
"Kami menjalankan kempen selama 40 hari itu dan menerima sumbangan rakyat Malaysia dari seluruh negara," katanya.
Sementara itu, Dekan PPA CAS, Profesor Madya Dr Bahtiar Mohamad yang mengiringi delegasi berkata, program seumpama itu perlu digerakkan dari semasa ke semasa kerana komuniti Muslim di Kemboja memerlukan bantuan terutama pendidikan untuk generasi muda.
"Melalui pendidikan dan perubahan minda akan dapat membantu mereka untuk lebih maju. Sumbangan yang diberikan menunjukkan keprihatinan kita terhadap kemajuan masyarakat Muslim di rantau ini," katanya.
Menurutnya lebih 400 kilogram barangan diedarkan termasuk tajaan untuk program aqiqah dan kenduri bersama penduduk kampung.
Misi ini mendapat kerjasama dari Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) melalui latihan persediaan (Pre Departure Training), Asian Institute of Cambodia (AIC) yang membantu aspek logistik sepanjang program dan sokongan dari Passage to ASEAN (P2A) dan Pejabat Kedutaan Malaysia di Phnom Penh.
Hanya dua perkampungan masyarakat Islam di Kratie iaitu Kampung Krakor membabitkan 318 penduduk dan 125 penduduk di Kampung Trapeang Pring.