Isteri cedera dipukul batang paip PVC

Iklan

KUALA TERENGGANU - Berpunca perselisihan faham kecil, ibu kepada lima anak cedera dipukul dengan batang paip PVC oleh suaminya, dalam kejadian di sebuah rumah di Kepong, di sini, petang semalam.

Bukan itu sahaja, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, wanita berusia 35 tahun itu turut disepak dan ditendang tanpa belas kasihan oleh suspek, 36.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah sedang berehat di rumah sebelum tercetusnya sedikit perselisihan faham kecil dengan suspek.

Jelas sumber, suspek yang sebelum ini memang 'terkenal' dengan sikap panas baran terus naik hantu sebelum mengambil batang paip PVC di dapur lalu memukul wanita itu beberapa kali tanpa belas simpati.

Iklan

"Meskipun melihat mangsa menangis kerana kesakitan, suspek langsung tidak menghiraukannya, malah turut tergamak bertindak menyepak mangsa beberapa kali.

"Masih tidak berpuas hati, suspek melepaskan amarahnya dengan bertindak merampas telefon bimbit jenis Samsung milik mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Sumber berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam di tangan dan kaki selain luka di bahu serta sakit-sakit di seluruh badan.

"Tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian, selain bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga lain pada masa akan datang, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, sebelum suspek ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah, Roszita Md Saad membenarkan suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.