IPOH - Kementerian Sumber Manusia komited mencapai 35 peratus pekerja berkemahiran tinggi dalam guna tenaga kerja menjelang 2030.
Menterinya, M Kula Segaran berkata, negara memerlukan tenaga kerja terlatih dan memiliki kemahiran tinggi bagi memastikan ekonomi negara dapat terus bersaing dan memenuhi cabaran hingga ke peringkat antarabangsa.
Menurutnya, sebagai usaha awal, kementerian akan menawarkan lebih banyak bentuk pengajaran berteknologi tinggi di Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) melibatkan realiti maya (virtual reality) dan realiti ter-imbuh (augmented reality) serta Bidang Keselamatan Siber yang mendapat permintaan tinggi.
"Adalah menjadi hasrat kementerian untuk meningkatkan lagi bilangan tenaga kerja mahir dengan membuka peluang seluas-luasnya kepada semua golongan masyarakat menyertai pelbagai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET di institusi latihan kemahiran di negara ini.
"Di bawah teras strategik bagi modal insan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus lepasan SPM melanjutkan pelajaran dalam
bidang TVET dan seterusnya mencapai sasaran 35 peratus pekerja berkemahiran tinggi dalam guna tenaga negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kemahiran Malaysia 2.0 (SkillsMalaysia 2.0) di Institut Latihan Perindustrian Ipoh hari ini.
Program disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Kula Segaran berkata, SkillsMalaysia 2.0 yang dijenamakan semula daripada SkillsMalaysia pada 2011 lalu bukanlah bertujuan untuk mewujudkan persaingan, tetapi sebagai platform mempertingkatkan lagi kerjasama dengan semua kementerian dan agensi dalam memperkasakan bidang kemahiran.
Katanya, setakat ini, ILJTM telah menjalinkan kerjasama rapat dengan syarikat antarabangsa yang beroperasi di Malaysia seperti Daikin Malaysia dan First Solar bagi meningkatkan latihan dalam bidang teknikal, malah terdapat pelajar di bawah ILJTM telah menerima biasiswa daripada syarikat seperti Mubadala Petroleum dan Ann Joo Steel Berhad.
"Selepas 8 tahun berlalu, pelbagai perubahan teknologi telah berlaku khususnya berkaitan dengan Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
"Pada masa kini kementerian berpendapat adalah sesuai agar konsep ini diberi penjenamaan semula dengan mengambil kira perkembangan teknologi di mana kewujudan banyak pekerjaan baharu yang memerlukan kombinasi pengetahuan teknikal, analitis dan kemahiran berinteraksi," katanya.